RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Kes jenayah komersial di daerah ini meningkat kepada 247 kes dengan kerugian RM4.47 juta berbanding 214 kes pada 2025.
Dalam masa sama, tangkapan kes narkotik melonjak kepada 610 tangkapan pada April 2026 iaitu sebanyak 143 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Azari Miskon berkata walaupun dua kategori jenayah itu meningkat, keseluruhan indeks jenayah menunjukkan penurunan sebanyak 30 kes berbanding tahun sebelumnya.
Sepanjang Januari hingga April, sebanyak 139 kes direkodkan dengan 73 berjaya diselesaikan, bersamaan kadar penyelesaian 52.52 peratus.
Statistik kemalangan jalan raya turut menurun sebanyak 168 kes atau 2.32 peratus manakala saman dikeluarkan pada April ialah 4,229 dengan kutipan kompaun RM606,350.
Azari menegaskan kejayaan mengekalkan keselamatan awam adalah hasil komitmen warga IPD Sibu yang bekerja sebagai satu pasukan dengan semangat profesional tinggi.
Beliau turut mengingatkan anggota agar sentiasa peka terhadap isu semasa termasuk jenayah siber, penyalahgunaan dadah dan cabaran keselamatan lain.
“Kepercayaan masyarakat adalah aset utama kita. Hubungan baik dengan komuniti perlu diperkukuh melalui pendekatan kepolisian komuniti,” katanya.
Dalam ucapan sama, Azari juga menekankan kepentingan menjaga kebajikan anggota, keseimbangan kerjaya dan kehidupan peribadi serta amalan gaya hidup sihat termasuk pemantauan indeks BMI.
“Anggota yang sihat dan cergas mampu melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan berkesan,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan kelainan pada perhimpunan kali ini apabila ahli keluarga dijemput hadir menyaksikan majlis pemakaian pangkat anggota, sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan mereka.