Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

PROGRAM TABLE TOP EXERCISE PENGURUSAN BENCANA DAERAH SIBU

Disiarkan pada 29 Apr 2026
Sumber Berita: UTUSAN BORNEO

SIBU: Program Table Top Exercise (TTX) Pengurusan Bencana Daerah Sibu merupakan satu platform atau latihan simulasi berasaskan perbincangan tentang peranan dan respons agensi strategik terhadap situasi kecemasan tertentu.

Residen Bahagian Sibu Abang Mohammad Porkan Abang Budiman berkata, program TTX bertujuan memperkasakan kesiapsiagaan, meningkatkan kolaboratif antara agensi dan sukarelawan, menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan memberikan pengetahuan serta kefahaman tentang peranan masing-masing selaras dengan Arahan NADMA No.1.

"Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu, saya ingin menegaskan bahawa persiapan menghadapi bencana bukanlah bersifat reaktif semata-mata tetapi mesti dirancang secara proaktif, sistematik dan bersepadu.

"Kita tidak boleh hanya bergerak apabila bencana telah berlaku, sebaliknya persediaan rapi perlu dilaksanakan lebih awal meliputi aspek perancangan, logistik, komunikasi dan koordinasi antara agensi," ujarnya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program TTX Daerah Sibu di Dewan MUC, hari ini.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Sibu Tsong Chow Choon.

Menurut Abang Mohammad Porkan, sepanjang program TTX peserta telah melalui pelbagai simulasi senario yang menguji keupayaan membuat keputusan, keberkesanan komunikasi serta tahap koordinasi antara agensi.

Katanya, perbincangan dan analisis yang dilaksanakan mencerminkan realiti cabaran sebenar yang mungkin dihadapi pada bila-bila masa kerana dalam pengurusan bencana, persiapan rapi sebelum berlakunya insiden adalah kunci utama bagi meminimumkan risiko kehilangan nyawa dan kerugian harta benda.

"Saya menyeru agar semua agensi memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak Pengurusan Bencana Daerah dan Bahagian sebagai penyelaras utama pengurusan bencana di bahagian Sibu.

"Pada masa yang sama, peranan penting agensi barisan hadapan hendaklah sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang optimum," jelasnya.

Beliau turut memberitahu, kesiapsiagaan bukanlah satu usaha bermusim tetapi satu tanggungjawab berterusan, yang menuntut komitmen, latihan berkala, perkongsian maklumat yang jelas dan semangat kerja berpasukan yang tinggi.

"Saya berharap segala dapatan ilmu, cadangan serta teguran sepanjang sesi Table Top Exercise ini dapat dimanfaatkan dalam tugas harian masing-masing," tambahnya.
 

- UTUSAN BORNEO-


image Undian
image Pengumuman