Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

Dr Annuar arah UTS tambah baik kafeteria susulan insiden keracunan makanan

Posted on 29 Jun 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Datuk Dr Annuar Rapaee (gambar) mengarahkan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) supaya segera menambah baik persekitaran kafeteria kampus dengan memberi penekanan terhadap kualiti makanan serta harga yang berpatutan susulan insiden keracunan makanan membabitkan pelajar Program Asasi.

 

Pengerusi Lembaga Pengarah UTS itu memberi jaminan bahawa keselamatan dan kebajikan pelajar, termasuk aspek keselamatan makanan, kekal menjadi keutamaan universiti.

“Saya telah mengarahkan UTS supaya menambah baik semua premis makanan di kampus dengan memberi penekanan terhadap kualiti dan harga makanan.

“Mereka (pengurusan UTS) akan membentangkan cadangan itu kepada Lembaga Pengarah dan kami akan membuat keputusan bagi mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk kiosk makanan, kantin dan kafe,” kata Dr Annuar kepada The Borneo Post pada Ahad ketika ditanya mengenai tindakan susulan yang akan diambil.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat itu turut melahirkan rasa kecewa terhadap insiden berkenaan yang dilaporkan berpunca daripada makanan yang dibekalkan oleh sebuah syarikat katering luar.

 

“Saya juga kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh UTS yang menyatakan universiti hanya menyediakan pengangkutan kepada pelajar terjejas tetapi tidak menanggung kos rawatan mereka kerana kenyataan itu boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat,” tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka.

Bagi menjelaskan perkara itu, Dr Annuar berkata, beliau telah menghubungi Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun, yang mengesahkan bahawa pelajar Program Asasi yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan tidak akan dikenakan sebarang bayaran.

“Bagaimanapun, sekiranya mereka memilih mendapatkan rawatan di klinik atau hospital swasta, mereka perlu menanggung sendiri kos rawatan tersebut,” katanya.

Dr Annuar berkata, Pejabat Kesihatan akan menjalankan siasatan terhadap makanan yang dipercayai menjadi punca keracunan itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pembekal yang didapati bertanggungjawab.

Sementara itu, UTS menerusi Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar (SDSC) mengeluarkan kenyataan rasmi memohon maaf kepada pelajar, ibu bapa serta kakitangan yang terjejas akibat insiden berkenaan.

 

Pengarah SDSC Lu Yew King menjelaskan bahawa makanan yang disajikan semasa program orientasi dibekalkan oleh sebuah syarikat katering luar dan bukannya disediakan oleh UTS.

Beliau berkata, tiada pelajar yang terjejas berada dalam keadaan serius atau memerlukan kemasukan ke hospital.

“Kesemua mereka telah menerima rawatan perubatan yang diperlukan sama ada di hospital kerajaan atau melalui pemberian ubat yang bersesuaian, dan kini sedang beransur pulih,” menurut kenyataan itu.

 
  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman