Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

Skuad Anti Along Sarawak bantu mangsa pinjaman wang tanpa lesen

Disiarkan pada 02 Jul 2026
Sumber Berita: Utusan Borneo Online
SIBU: Dalam usaha memperkukuh perjuangan membanteras kegiatan pinjaman wang tanpa lesen atau along yang semakin membimbangkan di Sarawak, Skuad Anti Along Sarawak melalui Kreemimin Sarawak ditubuhkan sebagai platform membantu mangsa mendapatkan perlindungan, nasihat serta sokongan mengikut saluran undang-undang.

Pengerusi Skuad Anti Along Sarawak Chew Chung Ming berkata, skuad baharu ditubuhkan pada tahun ini dan berpusat di Miri itu diwujudkan sebagai benteng kepada mangsa yang selama ini hidup dalam ketakutan akibat ugutan serta tekanan sindiket along.

Menurutnya, Kreemimin Sarawak melalui skuad itu komited menjadi suara masyarakat dalam memperjuangkan nasib mangsa pinjaman wang tanpa lesen yang sering berdepan pelbagai bentuk intimidasi sehingga menjejaskan kehidupan dan kesejahteraan keluarga.

"Ramai mangsa hidup dalam tekanan, ketakutan dan kebuntuan selepas terjerat dengan sindiket along. 

"Justeru, kami mahu mereka tahu bahawa mereka tidak bersendirian dan masih mempunyai saluran yang sah untuk mendapatkan bantuan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

hew berkata, kebanyakan mangsa terjebak dengan sindiket along akibat kesempitan hidup, masalah kewangan, kurang pengetahuan mengenai undang-undang atau terpedaya dengan tawaran pinjaman yang mudah dan cepat.

Namun, selepas pinjaman diluluskan, mangsa mula berdepan pelbagai tekanan termasuk dikenakan kadar faedah yang tidak munasabah, caj melampau, ugutan berterusan, gangguan terhadap ahli keluarga, penyebaran gambar dan maklumat peribadi serta tekanan emosi yang berpanjangan.

Sehubungan itu, katanya, Kreemimin Sarawak giat melaksanakan kempen kesedaran melalui perkongsian maklumat dan khidmat nasihat bagi mendidik masyarakat supaya lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang pinjaman.

"Masyarakat perlu berwaspada terhadap mana-mana pihak yang menawarkan pinjaman tanpa semakan yang jelas, meminta bayaran pendahuluan atau menggunakan ugutan sebagai kaedah kutipan hutang kerana itu merupakan antara modus operandi sindiket along," katanya.

Dalam pada itu, Chew menyeru semua mangsa supaya tampil mendapatkan bantuan melalui saluran yang betul tanpa terus tunduk kepada ancaman sindiket terbabit.

Beliau turut menasihatkan mangsa supaya menyimpan semua bukti berkaitan seperti perbualan WhatsApp, resit transaksi, nombor telefon, nombor akaun bank, gambar ugutan serta rekod komunikasi lain bagi memudahkan tindakan undang-undang diambil.

"Bukti-bukti ini amat penting sekiranya mangsa ingin membuat laporan polis atau mendapatkan nasihat daripada pihak berkaitan," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan penubuhan Skuad Anti Along Sarawak bukan bertujuan menggalakkan tindakan di luar batas undang-undang atau konfrontasi dengan sindiket terbabit, sebaliknya memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai hak mereka serta meningkatkan keberanian mangsa untuk tampil membuat laporan.

"Kami mahu mangsa sedar bahawa mereka mempunyai hak di sisi undang-undang dan tidak perlu terus hidup dalam ketakutan," katanya.

Beliau berkata, skuad itu turut mendapat khidmat seorang peguam yang dilantik sebagai penasihat bagi memastikan setiap tindakan yang diambil mematuhi lunas undang-undang.

"Kami tidak bertindak sesuka hati atau menggunakan kekerasan. Semua tindakan adalah berlandaskan undang-undang kerana kegiatan along melanggar beberapa peruntukan akta yang membolehkan tindakan diambil terhadap mereka, manakala mangsa pula dilindungi oleh undang-undang tertentu.

"Jangan takut untuk tampil mendapatkan bantuan. Salurkan segala kebimbangan dan ugutan yang diterima kepada kami kerana kami bersedia membantu melalui saluran yang betul," katanya.

Chew turut mendedahkan bahawa kegiatan sindiket along kini semakin berleluasa di beberapa kawasan utama di Sarawak termasuk Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu, dengan semakin ramai individu menjadi mangsa akibat desakan hidup.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Kreemimin Sarawak kini sedang melengkapkan proses pendaftaran sebagai sebuah pertubuhan yang sah bagi memperkukuhkan lagi peranan organisasi itu dalam membantu masyarakat.

Menurutnya, Kreemimin Sarawak akan terus memperluaskan kempen kesedaran, memberikan sokongan kepada mangsa serta mengajak seluruh masyarakat berganding bahu membanteras kegiatan along demi melindungi rakyat daripada terus menjadi mangsa eksploitasi sindiket pinjaman wang tanpa lesen.

Orang ramai yang memerlukan maklumat atau bantuan berkaitan isu along boleh menghubungi Kreemimin Sarawak - Skuad Anti Along Sarawak menerusi WhatsApp di 019-7887271.

 
  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman