RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan barangan tidak berkastam selepas merampas rokok dan minuman keras dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.21 juta, termasuk duti serta cukai, menerusi empat serbuan berasingan di sekitar Sibu pada 5 dan 6 Jun lalu.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Norizan Yahya, berkata kejayaan itu hasil risikan serta maklumat awam yang membawa kepada operasi oleh Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Sibu dan Stesen Sarikei.
"Sindiket dipercayai menjadikan beberapa rumah tidak berpenghuni sebagai lokasi penyimpanan sementara sebelum barangan tersebut diedarkan ke pasaran tempatan.
"Modus operandi yang dikesan adalah menggunakan rumah tidak berpenghuni sebagai stor simpanan bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum barangan diseludup diedarkan untuk dijual," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama pada kira-kira jam 7.15 malam, 5 Jun lalu di sebuah rumah di Lorong Lilin, pasukan penguat kuasa menemui sebanyak 7,184.64 liter minuman keras yang disyaki tidak berkastam.
Menurutnya, nilai rampasan dianggarkan RM73,588.80, manakala duti dan cukai sebanyak RM115,565.31, menjadikan jumlah keseluruhan sitaan bernilai RM189,154.11.
"Pada hari sama, kira-kira jam 8.30 malam, satu lagi serbuan di sebuah rumah tidak berpenghuni di Lorong Quarry, membawa kepada penemuan 7,286.40 liter minuman keras yang disyaki tidak berkastam.
"Rampasan itu dianggarkan bernilai RM72,864.00 dengan duti dan cukai sebanyak RM116,791.88, menjadikan nilai keseluruhan sitaan RM189,655.88," jelasnya.
Norizan berkata, serbuan terbesar direkodkan pada kira-kira jam 1 pagi, 6 Jun lalu apabila sepasukan pegawai daripada Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Sarikei menyerbu sebuah rumah di Lorong Rantau Panjang.
Dalam operasi itu, ujarnya, pasukan penguat kuasa merampas 490,000 batang rokok dan 16,751.76 liter minuman keras yang dipercayai diseludup.
"Nilai rampasan dianggarkan RM207,177.12, manakala duti dan cukai berjumlah RM605,809.59, menjadikan keseluruhan sitaan bernilai RM812,986.71," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, serbuan keempat yang dijalankan kira-kira jam 1.30 pagi di sebuah rumah di Lorong Ulu Sungai Merah, menemukan 855.36 liter minuman keras yang disyaki tidak berkastam.
Rampasan berkenaan, jelasnya, dianggarkan bernilai RM8,553.60, dengan duti dan cukai sebanyak RM13,710.35, menjadikan jumlah keseluruhan sitaan RM22,263.95.
Norizan berkata, semua minuman keras dan rokok yang dirampas dipercayai merupakan barang larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan telah disita untuk siasatan lanjut.
Menurut beliau, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau barang larangan import.
Beliau berkata, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000, mengikut mana yang lebih tinggi, dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau RM500,000, mengikut mana yang lebih tinggi, atau dipenjarakan antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai supaya terus membantu JKDM membanteras aktiviti penyeludupan, khususnya membabitkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan barangan lain yang menyalahi undang-undang.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana Pejabat Kastam berhampiran, sambil memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.