RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Kerajaan Persekutuan digesa untuk menyumberluarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan kritikal seperti kardiologi kepada hospital swasta sekiranya pihak persekutuan tidak mampu atau belum bersedia menyediakan kemudahan berkenaan untuk rakyat di wilayah ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Datuk Dr Annuar Rapa'ee berkata, jalinan kerjasama awam-swasta sedemikian akan memastikan bentuk perkhidmatan kesihatan yang lebih saksama untuk penduduk Sarawak yang kini tidak lagi dapat terus menunggu peruntukan persekutuan.
Dr Annuar mencadangkan agar kerajaan persekutuan ‘membeli’ perkhidmatan daripada sektor swasta bagi menyelesaikan kes tertunggak yang kritikal serta senarai menunggu yang panjang.
"Jika Kerajaan Persekutuan tidak mampu atau tidak dapat menyediakan perkhidmatan seperti kardiologi, mereka sepatutnya membeli perkhidmatan tersebut daripada pihak swasta daripada terus menunggu bertahun-tahun lamanya, yang saya sendiri pun tidak tahu bila.
"Mengapa tidak, demi faedah rakyat, mereka hantar pesakit ke sini untuk menjalani angiogram koronari atau angioplasti koronari?
"Saya rasa itu cukup adil.
"Jika anda tidak dapat menyediakan perkhidmatan kepada rakyat anda, anda harus membeli perkhidmatan orang lain untuk rakyat anda," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran rasmi Makmal Kateterisasi (CathLab) dan Perkhidmatan Kardiologi Pusat Perubatan Rejang (RMC) di sini, hari ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu, daripada perspektif ekonomi, kaedah penyumberan luar adalah sangat efisien.
Katanya, dengan memanfaatkan infrastruktur swasta sedia ada, Kerajaan Persekutuan tidak perlu lagi memikirkan kos penyelenggaraan atau kadar pusing ganti doktor yang tinggi, memandangkan doktor di hospital kerajaan kerap meletak jawatan untuk berhijrah ke tempat lain.
Dr Annuar menegaskan walaupun Sarawak menyumbang secara signifikan kepada kekayaan negara melalui hasil bumi seperti minyak dan gas, peruntukan bajet persekutuan tetap pada tahap yang sangat minimum.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak telah pun mengambil langkah proaktif dengan menggunakan dana sendiri terlebih dahulu untuk membina Pusat Kanser negeri serta pelbagai projek infrastruktur, termasuk membina jambatan dan sekolah, iaitu tindakan yang menurutnya bertentangan dengan cara bagaimana sebuah persekutuan yang sebenar sepatutnya berfungsi.
"Mereka ada tanggungjawab dan kita juga ada tanggungjawab kita.
"Kita sepatutnya saling membantu, tetapi Kerajaan Sarawak sanggup menggunakan wang sendiri terlebih dahulu," katanya.
Mengulas mengenai kemudahan CathLab yang baru dilancarkan di RMC, Dr Annuar menyifatkannya sebagai satu transformasi besar kepada landskap penjagaan kecemasan jantung bagi wilayah tengah Sarawak.
Beliau menjelaskan, kemudahan itu mewujudkan tempoh masa rawatan yang sangat penting bagi kawasan sekitar.
Sebagai contoh katanya, pesakit dari Hospital Kapit yang terletak kira-kira dua jam perjalanan, kini boleh menerima intervensi kecemasan dalam tempoh masa kritikal enam jam.
Kemudahan tersebut juga akan memanfaatkan pesakit dari Hospital Sarikei (45 minit perjalanan), Hospital Mukah, dan Hospital Kanowit.
"Bagi saya, jika mana-mana negara memenangi Piala Dunia itu adalah satu perkara yang besar, saya rasa kita telah memenangi Piala Dunia lebih awal dengan adanya CathLab Jantung ini.
"Ia adalah lebih daripada Piala Dunia. Ia menyelamatkan nyawa," katanya.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif RMC Dr John Tang, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Joshua Ting mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Ahli Dewan Negara (Senator) Robert Lau Hui Yew, ADUN Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh, Dr Lau Hui Ong daripada UKAPS Sibu dan Timbalan Pengarah Hospital Sibu Dr Nizam Ishak.