Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

Lebih 5,000 dijangka meriahkan SKS Bahagian Sibu Sabtu ini

Disiarkan pada 07 Jul 2026
Sumber Berita: Utusan Borneo Online
SIBU: Program Sarawakku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Sibu menyasarkan kehadiran lebih 5,000 pengunjung pada majlis perasmiannya yang dijadual disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang pada Sabtu ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee berkata, Premier dijadual merasmikan program itu pada jam 10.30 pagi sebelum mengadakan lawatan ke Sarawak Pavilion dan Sarawak Kitchen & Sales.

“Sebelum majlis perasmian, Premier Sarawak turut dijadual melawat Taman Rimba Bukit Lima bagi meninjau kemajuan projek rakyat termasuk pembinaan laluan papan sepanjang 600 meter sebelum bersarapan di Pasar Sentral Sibu pada jam 8.30 pagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan persediaan Program SKS Peringkat Bahagian Sibu di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang Fasa 1, hari ini.

Program yang bermula Jumaat ini hinga Ahad bakal menghimpunkan 47 agensi kerajaan yang menyediakan 158 kaunter perkhidmatan kepada orang ramai.

Hii yang juga pengerusi Jawatankuasa Peringkat Bahagian (Sibu, Sarikei, Mukah dan Betong) berkata, persiapan program kini hampir siap sepenuhnya dengan hanya kerja-kerja akhir seperti pemasangan pendingin hawa, penyejuk udara, karpet dan penyusunan kerusi sedang diselesaikan.

Katanya, Sarawak Pavilion akan dibuka kepada orang ramai bermula jam 9 pagi pada 10 Julai, menempatkan pelbagai pameran serta kaunter perkhidmatan kerajaan manakala Sarawak Kitchen & Sales akan menawarkan makanan tradisional dan produk usahawan tempatan.

“Penganjuran SKS bertujuan mendekatkan kerajaan dengan rakyat melalui konsep pusat sehenti, membolehkan pengunjung mendapatkan pelbagai perkhidmatan termasuk permohonan SKAS, FTES, bantuan kebajikan, peluang pekerjaan melalui JobSarawak serta menghadiri temu duga secara terus bersama 10 syarikat swasta.

“Selain mempamerkan projek pembangunan di bahagian Sibu termasuk di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), program itu turut menampilkan persembahan kebudayaan pada hari pertama, Konsert Rakyat pada malam 11 Julai serta Fun Walk sejauh 2.5 kilometer dan Fun Run sejauh 3.5 kilometer pada 12 Julai dengan penyediaan 2,000 pingat penamat,” katanya.

Hii berkata, pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan bertuah menerusi pendaftaran e-Peraduan menggunakan kod QR yang disediakan di lokasi program, dengan hadiah berupa 11 buah motosikal.

“Cabutan bertuah akan diadakan setiap 3 petang, manakala hadiah utama akan disampaikan pada 12 Julai. Pemenang diwajibkan hadir semasa cabutan dijalankan bagi melayakkan mereka menerima hadiah,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tiga hari program berlangsung, pelbagai perkhidmatan termasuk permohonan bantuan, pendidikan, peluang pekerjaan, saringan kesihatan, khidmat kaunseling dan urusan aduan awam akan disediakan bagi memudahkan rakyat berurusan dengan agensi kerajaan di bawah satu bumbung.

  • oleh


image Undian
image Pengumuman