Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

Wanita 22 tahun ditahan, dadah lebih RM18,000 dirampas di Sibu

Posted on 08 Jul 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Polis menahan seorang wanita berusia 22 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM18,448.25 dalam dua serbuan berasingan di Jalan Pahlawan dan Jalan Belatok, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan itu dilakukan oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu kira-kira jam 3 petang di Jalan Pahlawan.

Dalam serbuan pertama katanya, polis merampas 11 gram ketulan kristal disyaki dadah jenis ketamin, 190.15 gram serbuk minuman disyaki mengandungi campuran dadah jenis ekstasi serta 500 mililiter cecair disyaki mengandungi campuran dadah jenis sama.

“Nilai keseluruhan rampasan dalam serbuan pertama dianggarkan RM2,912,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah di Jalan Belatok kira-kira jam 3.45 petang pada hari yang sama.

Katanya, polis merampas 514.6 gram serbuk minuman disyaki campuran dadah jenis ekstasi, 191 gram ketamin serta 1,000 mililiter cecair disyaki mengandungi dadah jenis ekstasi dengan nilai rampasan RM15,536.25.

“Jumlah keseluruhan rampasan bagi kedua-dua serbuan dianggarkan bernilai RM18,448.25,” ujar beliau.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan benzodiazepine, selain turut mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Abang Zainal berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki mengedar dadah manakala kesalahan penyalahgunaan dadah disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup manakala kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali serta pengawasan selama dua tahun di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya.

Abang Zainal berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah supaya menyalurkannya kepada Hotline JSJN Bukit Aman di talian 012-2087222 atau JSJN Sarawak di talian 017-5929211 bagi membantu tindakan penguatkuasaan.

  • oleh


image Undian
image Pengumuman