RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Sikap segelintir pemandu yang memandu laju di lorong antara Flat Blok M dan Blok O, Sibu Jaya terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk apabila keselamatan penghuni seolah-olah tidak lagi menjadi keutamaan.
Lorong yang menjadi jalan pintas ke jalan utama itu digunakan setiap hari oleh penduduk untuk keluar bekerja, menghantar anak ke sekolah, selain dilalui warga emas dan kanak-kanak.
Namun, penduduk mendakwa masih ramai pemandu memandu dengan kelajuan tinggi walaupun menyedari kawasan tersebut merupakan kawasan perumahan yang padat dengan pergerakan pejalan kaki.
Malah, ada pemandu langsung tidak memperlahankan kenderaan ketika melalui lorong sempit berkenaan.
Keadaan bertambah membimbangkan apabila permukaan jalan yang rosak dan berlubang meningkatkan lagi risiko kemalangan.
Seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan berkata, sikap pemandu yang tidak menghormati keselamatan penghuni semakin keterlaluan sejak kebelakangan ini.
“Kami bukan melarang orang menggunakan lorong ini tetapi pandulah secara berhemah kerana ini kawasan perumahan, bukannya lebuh raya,” katanya.
Beliau menambah, hampir setiap hari mereka melihat kereta sewa dan kenderaan persendirian melalui lorong itu dengan kelajuan yang tidak sesuai.
“Kami bimbang suatu hari nanti akan berlaku kemalangan membabitkan kanak-kanak atau warga emas. Ketika itu sudah terlambat untuk menyesal,” ujarnya.
Menurutnya, penduduk sebelum ini pernah bergotong-royong membaiki jalan menggunakan wang sendiri kerana tidak sanggup melihat keadaan lorong terus rosak.
Namun usaha itu hanya bertahan sementara apabila jalan kembali berlubang, manakala sikap pemandu yang memecut laju masih tidak berubah.
Beliau menegaskan isu berkenaan bukan sekadar mengenai kerosakan jalan, sebaliknya melibatkan keselamatan nyawa penduduk yang menggunakan laluan itu setiap hari.
“Kami sudah melakukan apa yang termampu. Kini kami berharap pihak berkuasa segera turun padang, membaiki jalan ini dan mengambil tindakan terhadap pemandu yang memandu laju di kawasan perumahan,” tambahnya.
Penduduk berharap tindakan segera diambil sebelum lorong antara Flat Blok M dan Blok O benar-benar menjadi lokasi tragedi yang sebenarnya boleh dielakkan.
Dalam pada itu, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) dalam kenyataan pada 18 Mac lalu memaklumkan pihaknya bekerjasama rapat dengan Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) bagi menangani isu kerosakan jalan di Flat Blok M dan O secara berkesan.
MDLBS menegaskan jalan rosak di kawasan berkenaan adalah di bawah bidang kuasa HDC dan pihaknya mengambil maklum tindakan penduduk yang mengumpul dana sendiri bagi membaiki jalan demi keselamatan pengguna.
Walaupun jalan tersebut bukan di bawah bidang kuasa MDLBS, pihak majlis akan terus memainkan peranan menyelaras dengan agensi berkaitan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk sentiasa terpelihara.
MDLBS turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan semua pihak termasuk agensi berkaitan serta komuniti setempat dalam mencari penyelesaian menyeluruh dan berpanjangan terhadap isu berkenaan.