RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu Andy Alie berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.34 tengah malam sebelum mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kebakaran sedang marak di tingkat bawah sebuah rumah kedai tiga tingkat jenis struktur kekal berukuran kira-kira 20 x 40 kaki,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Andy berkata, kebakaran itu memusnahkan kira-kira 80 peratus ruang di tingkat bawah bangunan manakala tingkat atas tidak terjejas.
Menurutnya, premis tersebut merupakan kedai lama yang tidak lagi beroperasi dan digunakan sebagai tempat penyimpanan barangan seperti perabot.
Katanya, operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dan satu hos hantaran sepanjang 100 kaki dengan satu nozel manakala bekalan air diperoleh daripada pili bomba berhampiran.
“Kebakaran berjaya dikawal pada 12.46 tengah malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 1.05 pagi.
“Selepas memastikan tiada lagi punca api dan keadaan selamat, pasukan bertolak pulang ke balai pada 1.20 pagi,” ujarnya.
Beliau berkata tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.