RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Program Aerobicthon Challenge Sarawaku Sayang (SKS) Bahagian Sibu yang berlangsung di Dataran Tuanku Bujang berjaya menghimpunkan ratusan peserta kecergasan menerusi tema "Together We Stay Healthy, Together We Stay Strong".
Selain cabaran aerobik berkumpulan yang disertai 128 peserta, program itu turut mendapat sokongan 19 peserta lain yang hadir bagi memeriahkan pertandingan aerobikthon berkenaan.
KBSI Trainer Coach Marcilla Mohamad berkata, beliau amat teruja dengan kehadiran serta sokongan penggiat kecergasan terhadap program yang dianjurkan, selain menghargai mandat diberikan kepadanya untuk mengendalikan program tersebut.
"Pertandingan kali ini menarik ramai pasukan dari luar Sibu. Selain dari Sibu sebagai tuan rumah, turut menyertai pertandingan ini adalah pasukan dari Julau, Kanowit, Daro, Sri Aman dan Kuching," ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut Marcilla, jurulatih demonstrasi serta barisan juri yang dipilih juga terdiri daripada individu berpengalaman dalam bidang kecergasan, khususnya di Sibu.
Beliau berkata, pasukan teknikal daripada MEFA Fit Sport Event Management, Ahli Kelab Swan Tug Of War Sibu serta Kelab Senamrobik Harmoni turut memainkan peranan penting dalam menjayakan penganjuran Aerobicthon Challenge SKS kali ini.
"Pihak penganjur juga mengucapkan jutaan terima kasih juga kepada Sport Massage Therapist kerana sudi bekerjasama dengan pihak kami dengan memberi khidmat secara percuma dalam urusan terapi sukan.
"Terima kasih kepada MYSED Sibu kerana melibatkan kami sebagai penganjur bersama serta kepada semua peserta yang berjaya menghabiskan rutin pertandingan dengan selamat selama dua jam tanpa henti," jelasnya.
Sementara itu, pasukan Hornbill Rhythm dari Kuching berjaya muncul juara program dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan medal sementara tempat kedua oleh pasukan Fit Dancers (Kuching) dengan hadiah wang tumai RM600 dan medal.
Tempat ketiga dan keempat dimenangi pasukan Bombomboleyy (Sri Aman) dan Dynamic Victory Moves (Sibu), yang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM400 dan RM300, berserta medal.
Busman Noor dari kuching pula memenangi anugerah Most Energetic, membawa pulang hadiah RM100 dan medal sementara Best Costume dimenangi oleh Swan Squad dari Kanowit, dengan hadiah RM200 dan trofi.