RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Program Vaksinasi Antirabies, Mikrocip dan Pelesenan Anjing anjuran Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tong Ah, Selangau baru-baru ini mendapat sambutan baik.
Sepanjang program yang bermula jam 9 pagi hingga 2 petang itu yang turut mendapat kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar, sebanyak 53 ekor anjing yang dibawa 27 pemilik anjing telah menerima suntikan vaksin antirabies.
Selain itu, 43 ekor anjing telah didaftarkan untuk lesen anjing, manakala 18 ekor anjing telah dipasang mikrocip sebagai langkah meningkatkan pengenalpastian dan pengurusan anjing peliharaan.
Program ini antara lain bertujuan meningkatkan kadar vaksinasi antirabies, menggalakkan pemilikan anjing yang bertanggungjawab serta membantu usaha pencegahan dan kawalan penyakit rabies di kawasan MDLBS.
Di samping itu, usaha berterusan ini juga diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pencegahan rabies, selain menggalakkan pemilik haiwan peliharaan yang bertanggungjawab demi kesejahteraan komuniti.
Pihak majlis turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan program tersebut.