Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

Lions Sibu Pahlawan, Lion Shenzhen Da Tong China kini kelab berkembar

Posted on 17 Jul 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Hubungan persahabatan antarabangsa dalam kalangan ahli Kelab Lion terus diperkukuhkan apabila Kelab Lions Sibu Pahlawan menjalinkan hubungan kelab berkembar secara rasmi dengan Kelab Lion Shenzhen Da Tong, China.

Presiden Kelab Lion Sibu Pahlawan, Boston Ho berkata, hubungan tersebut akan menjadi platform untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama dan persahabatan antara Kelab Lion merentasi sempadan negara, budaya dan geografi.

"Hubungan sebagai kelab berkembar melambangkan komitmen jangka panjang untuk mempereratkan pertukaran pengalaman, memperkukuhkan kerjasama serta melaksanakan lebih banyak projek khidmat masyarakat berlandaskan semangat We Serve," ujarnya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Alu-aluan dan Upacara Berkembar sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Lion Asia Pasifik 2026 (APLLS) di sini, malam Khamis.

Ho turut menzahirkan penghargaan kepada semua ahli Lion Daerah 308-A2 khususnya di Sibu yang telah bertungkus-lumus secara sukarela selama beberapa bulan bagi menjayakan APLLS.

Katanya, usaha bermula daripada peringkat perancangan, penyelarasan program, penyambutan delegasi luar negara hinggalah kepada pelaksanaan setiap aspek penganjuran telah membolehkan sidang kemuncak itu berlangsung dengan jayanya.

"Hasil kerjasama dan komitmen semua ahli, Daerah 308-A2 berjaya mencipta sejarah apabila diiktiraf dalam Malaysia Book of Records bagi kategori 'Most Participants in an International Leadership Service Pledge'," jelasnya dengan rasa bangga.

Ho menegaskan, kejayaan tersebut bukan milik mana-mana individu sebaliknya merupakan hasil sumbangan setiap ahli Lion di Daerah 308-A2 yang telah memberikan khidmat secara ikhlas.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bekas Gabenor Daerah Dato' Winnie Lee atas kepimpinan dan asas kukuh yang dibina sepanjang tempoh pentadbirannya sehingga membolehkan Daerah 308-A2 berkembang sebagai sebuah organisasi yang bersatu dan mantap.

Beliau juga mengiktiraf sumbangan pengerusi penganjur majlis merangkap Presiden Pengasas Kelab Lion Sibu Pahlawan Jamie Tiew serta Pengerusi Penganjur APLLS Dato Betty Wong yang disifatkannya sebagai antara tonggak utama kejayaan penganjuran kedua-dua acara tersebut.

Sementara Gabenor Daerah 308-A2 merangkap tuan rumah Datuk Jimmy Tie dalam ucapan alu-aluannya menyifatkan majlis itu sebagai permulaan kepada hubungan persaudaraan yang lebih erat antara kedua-dua kelab yang terlibat.

Beliau berkata, jalinan kerjasama itu bukan sekadar satu majlis rasmi, sebaliknya menjadi lambang komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama, persefahaman dan semangat khidmat masyarakat selaras dengan objektif kelab.

"Walaupun kita berasal dari negara, bandar dan budaya yang berbeza serta bertutur dalam bahasa yang berlainan, kita berkongsi satu matlamat yang sama iaitu berkhidmat kepada masyarakat menerusi semangat 'Kita Berkhidmat'," ujarnya.

Menurut Tie, selaras dengan tema Presiden Kelab Lion Antarabangsa iaitu 'Mantap dalam Perkhidmatan', semangat berkhidmat yang kukuh akan mengukuhkan persahabatan, memperkasakan kelab dan memperluaskan impak kepada masyarakat.

Beliau turut mengaitkan majlis itu dengan tema Daerah 308-A2, 'Bina Bintang - Sinari Jalan untuk Yang Lain', sambil menyifatkan kerjasama itu sebagai satu lagi 'bintang' yang menyinari jaringan persahabatan antarabangsa Kelab Lion.

"Diharapkan hubungan kembar itu tidak hanya terhad kepada pemeteraian dokumen, sebaliknya diteruskan melalui lawatan balas, program khidmat masyarakat, pertukaran budaya, pembangunan kepimpinan serta persahabatan yang berkekalan," jelasnya.

  • oleh


image Undian
image Pengumuman