RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Kemakmuran sejati hanya dapat dicapai apabila rakyat hidup dalam kedamaian, peluang dikongsi secara saksama dan keharmonian sosial terus berkembang.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata kemakmuran tanpa perpaduan adalah rapuh, manakala pembangunan tanpa keharmonian tidak lengkap.
“Tema sambutan Hari Sarawak tahun ini, "Sarawak Maju Makmur", mencerminkan aspirasi masa depan kita. Namun, kemajuan sejati tidak boleh diukur semata-mata menerusi pertumbuhan ekonomi atau pembangunan fizikal sahaja.
“Atas sebab ini, Kerajaan Sarawak kekal komited untuk memastikan setiap agenda pembangunan adalah inklusif, saksama, dan berteraskan rakyat.
“Kami mahu setiap anak Sarawak, sama ada yang tinggal di kawasan bandar mahupun di komuniti luar bandar, mendapat manfaat daripada pembangunan kita. Tiada siapa yang akan ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yanh dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian semasa Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain sempena Sambutan Hari Sarawak 2026 di sebuah hotel di sini, malam Isnin.
Beliau berkata Sarawak kini semakin diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebagai contoh cemerlang bagi ‘Kepelbagaian dalam Perpaduan’.
Jelasnya, masyarakat daripada pelbagai kaum, agama, bahasa, dan budaya bukan sahaja wujud bersama secara aman, malah benar-benar hidup sebagai satu komuniti.
“Bagaimanapun, keharmonian ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia telah dipupuk dengan teliti selama bergenerasi melalui rasa hormat-menghormati, hubungan komuniti yang rapat, serta kesediaan kita untuk menerima kepelbagaian.
“Inilah yang saya panggil sebagai Formula Sarawak: Kepercayaan, Kesederhanaan, dan Saling Menghormati. Ini adalah nilai-nilai yang mesti terus kita pelihara, terutamanya pada waktu dunia semakin dicabar oleh kebencian, ekstremisme, dan polarisasi sosial,” tegasnya.
Sehubungan itu, Abang Johari mengingatkan seluruh rakyat Sarawak bahawa Hari Sarawak bukan sekadar untuk memperingati peristiwa bersejarah pada 22 Julai 1963, tetapi lebih penting lagi, ia mengingatkan masyarakat bahawa tentang perjalanan bersama dalam membina tanah air yang diasaskan atas perpaduan, rasa hormat-menghormati, dan tanggungjawab bersama.
“Sarawak sentiasa dibina oleh rakyatnya – masyarakat Melayu, Melanau, Dayak, Cina, Orang Ulu, India, dan pelbagai kaum lain.
“Begitu juga, pelbagai pegangan agama kita telah berkembang subur secara berdampingan sejak bertahun-tahun lamanya. Gereja, kuil, gurdwara, tempat sembahyang, dan rumah ibadat wujud bersama secara aman – bukan sahaja bersebelahan, malah dari hati ke hati.
“Atas sebab ini, Sambutan Hari Sarawak tidak akan lengkap tanpa majlis seperti malam ini, di mana penganut daripada pelbagai kepercayaan berkumpul untuk mengucap syukur,” katanya.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang, Timbalan Menteri Bertanggungjawab bagi Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang dan Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Sarawak Dato Georgina Apphia Ngau.