Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

687 bot bakal gegar Sungai Rajang pada Sibu International RC Powerboat Race 2026

Disiarkan pada 28 Jul 2026
Sumber Berita: TVS

SIBU, 27 Julai: Sungai Rajang bakal kembali menjadi tumpuan apabila sebanyak 687 bot kawalan jauh (RC Powerboats) dari dalam dan luar negara berentap dalam Sibu International RC Powerboat Race River Challenge (SIRCPRRC) 2026 yang berlangsung di Tebingan Pulau Li Hua dari 30 Julai hingga 2 Ogos ini.

Ketua Sekretariat kejohanan yang juga Setiausaha Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian Sibu (DTTG), Maria Nadja Jimmy berkata, penganjuran edisi ketiga itu terus memperkukuhkan kedudukan Sibu sebagai destinasi pelancongan sukan air bertaraf antarabangsa di rantau Asia Tenggara.

“Kejohanan bertemakan “D’ Mighty Rajang River Roars, Again!” itu meneruskan kejayaan edisi 2025 yang mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penyertaan 759 bot kawalan jauh, selain mengukuhkan reputasi Sungai Rajang sebagai lokasi utama sukan permotoran air selepas kejayaan Sibu International Powerboat Race (SIPR) 2026 pada April lalu yang turut mencatat rekod MBOR dengan penyertaan 251 bot laju,” katanya pada sidang media kejohanan di Bilik Mesyuarat Utama, Pejabat Residen Bahagian Sibu, hari ini.

Maria berkata, kejohanan kali ini turut mendapat penyertaan antarabangsa melibatkan 28 peserta dari Brunei Darussalam, tiga dari Thailand, dua dari Indonesia dan dua dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Penyertaan tempatan pula melibatkan peserta dari seluruh Sarawak dengan Sibu mencatat penyertaan tertinggi seramai 38 peserta, diikuti Kapit (18), Bintangor (11), Kanowit (9), Kuching (8), Limbang (4) serta peserta dari Sabah dan Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, pendaftaran rasmi yang ditutup pada 20 Julai merekodkan penyertaan tertinggi dalam Kategori Class H dengan 131 bot, diikuti Class F (115 bot) dan Class G (84 bot).

Majlis perasmian rasmi pada 30 Julai akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong, manakala majlis penutupan dan Farewell High Tea pada 2 Ogos akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing.

Selain perlumbaan utama yang menawarkan hadiah lumayan termasuk geran sokongan RM80,000 daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), pelbagai aktiviti sampingan turut disediakan seperti pertandingan mewarna dan melakar untuk kanak-kanak serta remaja, pertandingan menyumpit terbuka, cabutan bertuah harian dan jualan produk usahawan tempatan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa lalu lintas serta menggunakan kawasan parkir awam yang disediakan kerana ruang parkir berhampiran lokasi acara adalah terhad kepada urus setia, peserta dan tetamu kehormat.-TVS



image Undian
image Pengumuman