RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU, 28 Julai: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak cawangan Sibu terus memperkukuh usaha memupuk budaya keselamatan jalan raya dalam kalangan generasi muda menerusi penyertaan dalam Program Street Safety for Sibu Schools Awareness Campaign 2026.
Menurut kenyataan JPJ Sarawak, program anjuran Majlis Perbandaran Sibu (MPS) itu bertujuan meningkatkan tahap kesedaran warga sekolah mengenai kepentingan mematuhi peraturan jalan raya serta mengamalkan sikap bertanggungjawab ketika berada di jalan raya.
Katanya lagi pelbagai pengisian disediakan sepanjang program, termasuk Kaunter Bergerak JPJ yang menawarkan perkhidmatan pembaharuan lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta pembayaran kompaun bagi memudahkan urusan orang ramai.
“Selain itu, pameran keselamatan jalan raya turut diadakan bagi memberi pendedahan mengenai undang-undang lalu lintas serta fungsi dan peranan JPJ dalam memastikan sistem pengangkutan jalan yang selamat dan teratur.
“Peserta program juga mengikuti ceramah keselamatan jalan raya yang memberi penekanan terhadap kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas, sekali gus memupuk budaya pemanduan berhemah dan mengurangkan risiko kemalangan,” kata kenyataan itu selepas mengadakan program di Traffic Garden Rejang Park dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Taman Rajang pada Isnin.
JPJ Sarawak memaklumkan, penyertaan dalam program itu mencerminkan komitmen berterusan jabatan untuk memperluaskan pendidikan keselamatan jalan raya kepada masyarakat, khususnya dalam kalangan pelajar sebagai bakal pengguna jalan raya pada masa hadapan.
Jabatan itu turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Sibu serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan dalam usaha melahirkan masyarakat yang lebih peka terhadap aspek keselamatan jalan raya.
ByTVS