Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

Penganggur mencuri bekas makanan didenda

Posted on 05 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman denda RM500 atau penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret Sibu, hari ini setelah didapati bersalah mencuri bekas menyimpan makanan dari sebuah rumah di Ulu Sungai Merah, 31 Julai lepas.

Tertuduh, David Ting Chai Lung, 46, dijatuhi hukuman itu setelah membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Romario Jonoi atas pertuduhan yang dibacakan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Seksyen 379 memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Ting didakwa mencuri satu bekas makanan keluli tahan karat serta satu bekas makanan plastik yang disimpan dalam bakul milik seorang penjawat awam di sebuah kediaman di Lorong Ulu Sungai Merah 52E pada 31 Julai 2026, jam lebih kurang 12.38 petang.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu mendapati beg merah tempat menyimpan bekas makanan yang diletakkan di atas tiang hadapan rumahnya sementara menunggu diambil oleh penghantar makanan telah hilang.

Setelah membuat semakkan kamera litar tertutup (CCTV), didapati seorang individu tidak dikenali bermotosikal telah mengambil beg berisi bekas makanan terbabit.

Bertindak atas maklumat, pihak polis telah menahan seorang lelaki iaitu tertuduh pada hari sama, jam lebih kurang 5 petang di Lorong Ulu Sungai Merah 46S bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ting turut dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara tiga bulan oleh mahkamah sama atas kesalahan menyalahgunakan dadah jenis syabu.

Tertuduh juga diperintah oleh mahkamah berada di bawah pengawasan pihak polis selama dua tahun setelah tamat menjalani hukuman penjara.

Dia terdahulu didakwa menyalahgunakan dadah berbahaya iaitu Methamphetamine ketika ditahan di Balai Polis Sungai Merah, Jalan Wawasan pada 7 Mac 2026, jam lebih kurang 3 petang.

Sehubungan itu, Ting didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan di bawah seksyen ini boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, serta berada di bawah pengawasan bagi tempoh tidak kurang dua tahun serta tidak lebih tiga tahun.

 
  • oleh

 



image Undian
image Pengumuman