RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad (gambar) berkata, pihaknya mengesan video berkenaan sebelum menerima satu laporan polis yang dibuat seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun pada 9 Ogos lalu.
Katanya, bertindak berdasarkan maklumat dalam laporan berkenaan, polis melancarkan Op Cantas sebelum menahan ketiga-tiga suspek di Jalan Bandong, di sini, pada Isnin.
Tangkapan membabitkan seorang lelaki, 36, yang bekerja sendiri dan beralamat di Kampung Hilir, seorang buruh, 21, dari Jalan Teku serta seorang buruh, 60, dari Kampung Nangka.
“Semakan rekod polis mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah dan kesalahan terdahulu.
"Ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Sibu hari ini (11 Ogos) bagi permohonan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan media pada malam Isnin.
Abang Zainal Abidin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau cara yang berbahaya, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Abang Zainal Abidin menegaskan bahawa siasatan lanjut masih dijalankan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan semula video berkenaan kerana tindakan itu boleh menjejaskan siasatan polis, selain meminta mereka yang mempunyai maklumat tampil menyalurkannya kepada pihak polis.