RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Empat suspek tempatan yang ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kes pergaduhan membabitkan seorang lelaki yang dipukul sekumpulan individu, seperti yang tular menerusi video berdurasi 19 saat di Facebook baru-baru ini, diperintah ditahan reman empat hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Oon Kork Chern ke atas keempat-empat suspek yang berusia antara 21 dan 60 tahun yang diperintah dihadapkan semula di mahkamah pada 14 Ogos ini.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam satu kenyataan media sebelum ini berkata, pihaknya mengesan video berkenaan sebelum menerima satu laporan polis yang dibuat seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun pada 9 Ogos lalu.
Katanya, bertindak berdasarkan maklumat dalam laporan berkenaan, polis melancarkan Ops Cantas sebelum menahan beberapa suspek di Jalan Bandong, semalam.
"Semakan rekod polis mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah dan kesalahan terdahulu," katanya.
Abang Zainal Abidin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau cara berbahaya yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Beliau menegaskan siasatan lanjut masih dijalankan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat.