RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kini bukan lagi sekadar pemahaman fakta atau pencapaian peperiksaan semata-mata, sebaliknya medan untuk membentuk modal insan yang berfikiran kritis serta bersedia mendepani era digital.
Ketua Bahagian Pendidikan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) Donald Henry Nohed berkata, generasi muda masa kini perlu dilengkapi dengan kemahiran mencipta dan berinformasi bagi mendepani arus perkembangan teknologi yang pesat.
"Karnival seperti ini bukan sekadar medan pertandingan dan pameran tetapi merupakan platform untuk memupuk pemikiran kritis, kemahiran menyelesaikan masalah serta semangat bekerjasama.
"MEITD sentiasa komited menyokong sebarang inisiatif pendidikan yang menjurus ke arah memperkasakan bidang STEM melalui pelbagai program dan kerjasama strategik," katanya ketika merasmikan Karnival STEM Peringkat Daerah Sibu 2026 di SMK Rosli Dhoby di sini, pada Rabu.
Karnival yang berlangsung dua hari itu bermula pada Rabu hingga Khamis dan bertemakan "Innovating Today, Shaping Tomorrow".
Donald turut menzahirkan penghargaan kepada barisan pendidik dan pelbagai pihak yang mencurahkan idea serta tenaga dalam menjayakan program berasaskan inovasi berkenaan.
Sementara itu, Pengetua SMK Rosli Dhoby Hipnee Piee berkata, penganjuran karnival itu memberikan ruang kepada murid untuk berinteraksi, bertukar idea dan berkongsi pengetahuan dalam suasana pembelajaran yang sihat.
"Tema 'Innovating Today, Shaping Tomorrow' sangat bertepatan dengan perkembangan dunia yang semakin dipacu oleh teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), automasi, percetakan 3D, teknologi dron serta tenaga hijau.
"Apa yang kita lakukan hari ini bukan sahaja membentuk teknologi masa depan tetapi membentuk karakter generasi yang akan mengendalikan teknologi tersebut," ujarnya.
Hipnee turut merakamkan penghargaan kepada MEITD, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sibu serta Universiti Teknologi Sarawak (UTS) selaku rakan kolaboratif strategik yang sentiasa memberikan sokongan berterusan kepada pihak sekolah.
Beliau berharap karnival itu dapat menjadi pencetus kepada lahirnya lebih ramai saintis, jurutera dan usahawan berdaya tahan pada masa hadapan.
Hadir sama pada karnival tersebut ialah Pegawai Pendiddikan Daerah (PPD) Sibu Lau Ngie Tung dan Timbalan PPD Sektor Pelajaran Wong Siew Meng.