RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Polis menahan dua lelaki tempatan selepas dipercayai terlibat dalam kes kecurian jentera berat dalam satu operasi di Jalan Oya, di sini, pada Rabu.
Bertindak atas maklumat, pasukan dari Unit Kereta Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu membuat tangkapan itu kira-kira 4.15 petang.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, polis mengesan dan menahan sebuah lori treler yang membawa sebuah jentera pengorek disyaki dicuri.
"Hasil pemeriksaan lanjut, polis menahan dua lelaki tempatan masing-masing berumur 30 dan 32 tahun bagi membantu siasatan.
"Pihak polis turut merampas lori treler berkenaan serta jentera pengorek itu untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun, serta boleh dikenakan denda.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang prihatin dan menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penangkapan suspek berkenaan.