RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Pihak polis digesa menjalankan siasatan menyeluruh dan mengenal pasti setiap individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian serangan berkumpulan terhadap seorang lelaki di bandar ini baru-baru ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing (gambar) berkata, siasatan tidak seharusnya terhenti setakat penahanan empat suspek setakat ini.
Katanya, pihak polis perlu meneliti semua maklumat dan keterangan yang diperoleh daripada suspek bagi mengesan individu lain yang mungkin turut terbabit dalam kejadian berkenaan.
“Jika benar terdapat 20 atau 30 orang yang terlibat, mengapa hanya tiga atau empat yang ditahan?
“Pihak polis sepatutnya dapat mengenal pasti individu lain berdasarkan keterangan yang diberikan oleh mereka yang sudah ditahan. Jika siasatan tidak dapat menemukan sebarang petunjuk lanjut, maka jelas ada sesuatu yang tidak kena,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kebimbangan orang ramai berhubung beberapa kejadian keganasan yang berlaku di Sibu sejak kebelakangan ini, termasuk persoalan mengenai tahap keselamatan dan ketenteraman awam di bandar berkenaan.
Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong berkata, kebimbangan masyarakat perlu dipandang serius kerana orang ramai berhak mengetahui keadaan sebenar sesuatu kejadian serta memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap semua pihak yang terlibat.
“Orang ramai mahu polis pergi hingga ke akar umbi, mengenal pasti semua yang terlibat dan menentukan apa sebenarnya yang berlaku.
“Ini penting bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil, selain memulihkan keyakinan masyarakat terhadap penguatkuasaan undang-undang,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bintulu.
Dalam pada itu, Tiong turut menggesa Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menjalankan siasatan terperinci terhadap kes berkenaan, selain meminta Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) mempergiat pemantauan terhadap kegiatan kongsi gelap, kumpulan samseng dan aktiviti haram berkaitan di Sibu.
Katanya, operasi penguatkuasaan termasuk serbuan perlu dilaksanakan sekiranya terdapat maklumat dan bukti yang menunjukkan kewujudan kegiatan berkenaan.
Beliau berkata, cubaan sesetengah anggota kumpulan samseng untuk mempamerkan kononnya mereka mempunyai pengaruh atau kuasa tidak boleh dipandang ringan.
“Polis, khususnya D7, mesti mempunyai pemahaman yang jelas mengenai kumpulan ini dan anggota mereka serta mengambil tindakan yang sewajarnya,” tegasnya.
Tiong pada masa sama menyeru semua individu yang terlibat dalam kejadian itu supaya tampil menyerah diri kepada polis dan tidak menunggu sehingga ditangkap atau cuba melarikan diri.
“Jika anda telah melakukan kesalahan, tampil ke hadapan dan serahkan diri. Kita adalah sebuah negara yang berlandaskan undang-undang,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang dan pengaruh kumpulan samseng tidak boleh sesekali menggantikan undang-undang negara.
Sehubungan itu, beliau menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang terbabit serta memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan kongsi gelap dan kumpulan samseng di Sibu.
Katanya, tindakan juga perlu dilaksanakan hingga ke punca sekiranya perlu, termasuk melalui operasi serbuan dan penguatkuasaan bersepadu, bagi memastikan kegiatan seumpama itu tidak terus berakar.
“Keutamaan kita ialah memastikan Sibu kekal sebagai tempat yang selamat dan stabil untuk masyarakat tinggal serta menjalankan aktiviti ekonomi dan pekerjaan,” tambahnya.