RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Kira-kira 15,000 akaun pengguna berdaftar di Sibu terjejas berikutan gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan air rendah susulan kejadian paip utama berdiameter 1,000 milimeter (mm) pecah di Lorong Kiew Nang 1, di sini, hari ini.
Sarawak Water dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku di kawasan yang sedang menjalani kerja kontrak, manakala pihaknya kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti keadaan sebenar yang menyebabkan kejadian itu.
Antara kawasan terjejas adalah Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce dari persimpangan Jalan Salim hingga Lorong 60 hingga 66 termasuk Stesen Petronas, Jalan Tunku Abdul Rahman (Lorong Tunku Abdul Rahman 42), Rumah Sebastian, Jalan Rafflesia, Jalan Jade Villa, Taman Primeview, Taman Azalea dan Taman Sanhill.
Turut terjejas adalah Lapangan Terbang Sibu, Eco Garden, Sibu Jaya, Jalan Durin Link hingga Jambatan Durin, Jalan Satria, Jalan Bumi Indah, Jalan Ruai, Jalan Bougenvilla, Jalan Kaland, Jalan Pine, Taman Kemuyang, Kem Rascom, Rumah Nari serta kawasan persimpangan Sibu/Bintulu dan kawasan sekitarnya.
Sarawak Water berkata, pasukan tindak balas kecemasan dan teknikal telah digerakkan ke lokasi kejadian dan pihaknya bekerjasama rapat dengan kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan yang diperlukan.
Berdasarkan penilaian semasa, kerja pembaikan dijangka siap sekitar jam 4 pagi ini, tertakluk kepada keadaan di tapak dan perkembangan kerja pembaikan.
"Pemulihan bekalan air akan dimulakan selepas itu dan dilaksanakan secara berperingkat apabila sistem agihan kembali bertekanan.
"Pengguna di kawasan yang terletak lebih jauh dalam rangkaian agihan atau di kawasan berkedudukan lebih tinggi mungkin mengambil masa lebih lama sebelum tekanan air kembali normal," katanya.
Sarawak Water turut memaklumkan sesetengah pengguna mungkin mengalami perubahan warna air sementara dalam tempoh awal pemulihan akibat perubahan aliran dan tekanan dalam sistem agihan.
Sehubungan itu, kerja-kerja pembilasan dan pemantauan kualiti air akan dijalankan sekiranya perlu sehingga sistem kembali stabil.
Sarawak Water berkata, keutamaan pihaknya ketika ini adalah memastikan kerja pembaikan dilaksanakan dengan selamat dan memulihkan bekalan air kepada pengguna yang terjejas secepat mungkin.
Pengguna yang memerlukan maklumat lanjut atau bantuan boleh menghubungi talian hotline Sarawak Water Sdn Bhd (Wilayah Tengah) di 013-810 6311.
Sebarang perkembangan berkaitan kerja pembaikan dan pemulihan bekalan air akan disalurkan melalui saluran komunikasi rasmi Sarawak Water.