RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Orang ramai diingatkan supaya tidak memandang remeh risiko kebakaran kediaman yang kerap memuncak sepanjang musim cuaca panas dan kering, berbanding hanya menumpukan perhatian kepada isu pembakaran terbuka.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Andy Alie berkata statistik menunjukkan trend peningkatan kes kebakaran rumah dalam tempoh berkenaan dengan punca utama menjurus kepada penggunaan tenaga elektrik secara berlebihan dan tidak terkawal.
Beliau memberi amaran, tabiat membiarkan alat penghawa dan kipas angin digunakan tanpa henti serta amalan membebankan soket berbilang secara melampau menjadi pencetus utama kejadian litar pintas.
"Gunakan peralatan elektrik secara berhemah dan selamat. Jangan sesekali membiarkan soket elektrik sarat dengan bebanan sehingga mengundang padah yang meragut nyawa dan harta benda," katanya ketika dihubungi hari ini.
Selain ancaman kebakaran di rumah, Andy menggesa masyarakat agar lebih peka terhadap kesihatan diri dengan mengurangkan sebarang aktiviti luar yang tidak mendesak.
Sekiranya perlu berada di luar, katanya, orang ramai dituntut memastikan hidrasi badan sentiasa mencukupi dan mengelakkan pendedahan berpanjangan di bawah sinaran matahari bagi mencegah risiko strok haba.
Mengenai aktiviti pertanian dan pembersihan tanah, beliau menegaskan agar golongan petani dan pekebun menghentikan serta-merta sebarang amalan pembakaran terbuka.
"Musim panas dan kering bukan masa untuk menduga bahaya api. Dalam keadaan angin kencang dan cuaca kering, percikan api kecil mampu merebak menjadi marak dalam hitungan minit hingga sukar dikawal," ujarnya.
Sebagai langkah pencegahan awal, beliau menyarankan agar persekitaran rumah dan lot tanah sentiasa dibersihkan daripada semak-samun serta bahan mudah terbakar.
Dalam pada itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memasang papan tanda amaran di kawasan berisiko tinggi, termasuk di laluan Jalan Pintas Sibu Jaya ke Jalan Khong Yit Khim.
Notis berkenaan menegaskan bahawa mana-mana pihak yang melakukan pembakaran terbuka berdepan tindakan kompaun sehingga RM2,000, ditangkap atau didakwa di mahkamah yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Andy turut menyeru orang ramai agar bertindak pantas melaporkan sebarang insiden kebakaran atau kepulan asap menerusi talian kecemasan 999 atau Hotline JAS di 1-800-88-2727.