Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

Kerosakan injap di Loji Rawatan Air Salim jejas 15,000 pengguna di Sibu

Disiarkan pada 14 Aug 2026
Sumber Berita: Utusan Borneo Online

SIBU: Kerosakan luar jangka pada injap agihan di Loji Rawatan Air Salim menyebabkan kira-kira 15,000 akaun pengguna di beberapa kawasan di sini mengalami gangguan bekalan air hari ini.

Sarawak Water dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerosakan injap berukuran 600 milimeter (mm) itu dikesan semasa proses pemulihan bekalan dijalankan susulan selesainya pembaikan paip utama berukuran 1,000mm di berhampiran Lorong Kiew Nang 1 awal pagi tadi.

"Kerja-kerja pembaikan injap berkenaan kini sedang giat dijalankan dan dijangka siap antara 1.00 tengah hari hingga 3.00 petang ini.

"Bekalan air bagaimanapun tidak akan pulih serta-merta selepas pembaikan selesai kerana sistem agihan memerlukan masa untuk diisi semula dan tekanan air perlu dibina secara bertahap sebelum sampai ke semua kawasan," menurut kenyataan itu.

Kawasan yang terjejas merangkumi Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce (persimpangan Jalan Salim) dari Lorong 60 hingga Lorong 66 termasuk Stesen Petronas; Jalan Tunku Abdul Rahman (termasuk Lorong 42, Rh. Sebastian, Jalan Rafflesia, Jalan Jade Villa, Taman Primeview, Taman Azalea, Taman Sanhill, Lapangan Terbang Sibu dan Eco Garden); Sibu Jaya serta pautan Jalan Durin hingga ke Jambatan Durin.

Turut terjejas ialah Jalan Satria, Jalan Bumi Indah, Jalan Ruai, Jalan Bougenvilla, Jalan Kaland, Jalan Pine, Taman Kemuyang, Kem Rascom, Rh. Nari hingga ke persimpangan Sibu–Bintulu dan kawasan sekitarnya.

Bagi mengurangkan kesannya, Sarawak Water telah menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas untuk menyalurkan bantuan bekalan air sementara sepanjang tempoh pembaikan dan pemulihan.

Pengguna juga dinasihatkan agar membiarkan air mengalir dari pili sehingga jernih sekiranya mengalami masalah air keruh semasa tempoh pemulihan tekanan air.

Maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai kerja pembaikan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi Sarawak Water.

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman