RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Tiga lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM2,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas disabitkan bersalah terlibat dalam rusuhan bersenjata.
Majistret Oon Kork Chern menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Norazam Azzim Junaidi, 36; Sharul Ariffin Ali, 21; dan Muhammad Syahrom Mohd Syafiq, 29, yang mengaku bersalah atas pertuduhan yang difailkan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Mereka didakwa bersama dua lagi tertuduh iaitu Abdul Aziz Abu Bakar, 21, dan Muhammad Mustapha Hamden, 36, melakukan kesalahan itu di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang Fasa 2, Jalan Lau King Howe, di sini, kira-kira jam 10.15 malam pada 8 Ogos.
Abdul Aziz dan Muhammad Mustapha bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Mahkamah membenarkan setiap mereka diikat jamin sebanyak RM5,000 melalui e-Jamin berserta dua penjamin tempatan yang masing-masing mempunyai pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM2,000.
Mereka juga diarahkan melaporkan diri kepada pegawai penyiasat Inspektor Adib Azizi Rosli pada hari pertama setiap bulan bermula 1 September sehingga kes tersebut selesai.
Mahkamah menetapkan 1 Oktober sebagai tarikh pengurusan kes praperbicaraan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang berusia 32 tahun berada bersama Abdul Aziz dan Muhammad Mustapha di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam di kawasan lapang Dataran Fasa 2 apabila kenderaan mereka dihentikan oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali.
Abdul Aziz dan Muhammad Mustapha keluar dari kenderaan untuk bertanya kepada kumpulan berkenaan mengapa mereka menghentikan kenderaan tersebut, manakala pengadu kekal berada di dalam kenderaan.
Pengadu kemudian melihat kedua-dua lelaki itu dipukul menggunakan objek keras yang dipercayai berupa batang kayu panjang dan topi keledar motosikal.
Selepas kumpulan tersebut beredar, pengadu mendapati Muhammad Mustapha mengalami kecederaan dan pendarahan pada bahagian siku serta kepala.
Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan.
Polis menahan lapan suspek termasuk kelima-lima tertuduh di lokasi berasingan berdasarkan keterangan saksi dan hasil analisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Satu sesi barisan pengecaman juga telah dijalankan.
Hasil siasatan mendapati kelima-lima tertuduh terlibat dalam pergaduhan tersebut dengan menggunakan senjata, menyebabkan mereka didakwa di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh dengan bersenjatakan senjata berbahaya.
ASP Sokolinkam Changgan mengendalikan pendakwaan, manakala kesemua lima tertuduh tidak diwakili peguam.