RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan menyediakan kira-kira 30 tong pembakaran bagi kegunaan orang ramai membakar wang kertas sempena Pesta Hantu Lapar pada 26 dan 27 Ogos ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kegunaan Am dan Perkhidmatan Komuniti MPS Kaunselor Simon Wee berkata, tong tersebut akan ditempatkan di empat lokasi utama pembakaran yang telah ditetapkan.
"Empat lokasi pembakaran yang ditetapkan adalah di persimpangan Jalan Pahlawan/Jalan Dr Wong Soon Kai, bulatan Jalan Lada/Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce (TAZA), Jalan Wawasan berhampiran Kolej Laila Taib (KLT) dan bulatan Jalan Bukit Lima," ujarnya ketika sesi dialog sempena Pesta Hantu Lapar, hari ini yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kegunaan Am dan Perkhidmatan Komuniti MPS Kaunselor Augustine Merikan.
Sesi dialog tersebut turut dihadiri oleh wakil daripada tokong Cina, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi berkaitan, khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurut Wee, bagi empat lokasi terbabit sejumlah antara lima hingga tujuh tong akan ditempatkan bagi kegunaan orang ramai membakar wang kertas pada hari tersebut.
"Pihak majlis telah menyediakan tong-tong ini sejak tiga tahun lepas bagi kegunaan orang ramai membakar wang kertas semasa Pesta Hantu Lapar," katanya sambil menyeru orang ramai menggunakan sebaiknya tong yang telah disediakan.
Aktiviti pembakaran wang kertas di lokasi yang ditetapkan dijangka bermula sekitar jam 11 malam pada 26 Ogos dan berterusan sehingga tengah malam, dengan aktiviti pembakaran berskala besar dijangka berlaku di persimpangan Jalan Pahlawan/Jalan Dr Wong Soon Kai.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa orang ramai supaya mengurangkan aktiviti pembakaran sempena Pesta Hantu Lapar tahun ini berikutan cuaca kering ketika ini dan risiko kebakaran yang semakin meningkat.
Pihak majlis katanya, tidak dapat mengharamkan sepenuhnya amalan tradisional tersebut namun menggalakkan masyarakat menyambut perayaan berkenaan dengan cara yang lebih selamat dan mesra alam sekitar.
"Disebabkan cuaca kering ketika ini, pihak majlis ingin menasihatkan orang ramai agar mengurangkan aktiviti pembakaran wang kertas di tepi-tepi jalan atau bulatan.
"Kita tidak boleh mengharamkan perayaan ini sepenuhnya, oleh itu kita menyeru kerjasama daripada semua pihak," jelasnya sambil menambah MPS akan terus mempromosikan konsep Pesta Hantu Lapar yang lebih mesra alam dengan aktiviti pembakaran digalakkan dilakukan di lokasi yang telah ditetapkan bagi mengurangkan risiko kebakaran.
Sementara Ketua JBPM Zon 4 Sibu Andy Alie berkata, pihaknya akan meningkatkan tahap kesiapsiagaan sepanjang kemuncak perayaan tersebut, khususnya pada malam 26 Ogos dan 27 Ogos.
"Kita akan menjalankan pemantauan dan memberi tumpuan kepada empat lokasi yang ditetapkan, terutama kawasan yang dijangka mempunyai aktiviti pembakaran berskala besar," ujarnya.
Andy turut mengingatkan mereka yang melakukan pembakaran supaya memastikan api dipadamkan sepenuhnya sebelum meninggalkan lokasi serta membersihkan abu, kotak dan bahan-bahan lain yang ditinggalkan.