Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

BCF 2026 sasar rekod MBR menerusi acara melambung mi kampua

Disiarkan pada 20 Aug 2026
Sumber Berita: Utusan Borneo Online
SIBU: Percubaan mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) bagi penyertaan terbanyak acara melambung mi kampua secara serentak bakal menjadi tarikan utama Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) 2026 edisi ke-22.

Festival berkenaan dijadualkan berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1 dan 2 di sini, bermula 3 hingga 12 September ini.

Pengerusi Pengelola BCF 2026 Ahli Majlis Michelle Law berkata selain acara MBR yang dijadualkan pada 10 September itu, pengunjung pada malam berkenaan bakal disajikan dengan pertunjukan api profesional daripada kumpulan Budakapi Movement dari Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata hidangan mi kampua dipilih kerana ia bukan sekadar makanan tempatan, malah merupakan sebahagian daripada identiti serta warisan budaya masyarakat Sibu.

"Percubaan rekod ini bertujuan menonjolkan budaya tempatan kita menerusi pendekatan yang menyeronokkan, bermakna dan unik bagi Sibu, di samping menyatukan masyarakat pelbagai lapisan untuk mencapai matlamat yang sama.

"Para peserta akan mengambil bahagian dalam acara menggaul mi kampua secara serentak yang bakal mencipta pemandangan visual luar biasa. 

“Percubaan yang berjaya kelak akan didokumentasikan bagi pengiktirafan rasmi MBR," katanya pada sidang media di pejabat Majlis Perbandaran Sibu (MPS) di sini pada Rabu.

Mengulas mengenai BCF 2026 yang bertemakan 'Echoes of Borneo', Law berkata festival itu menandakan penganjuran melepasi dekad kedua dalam usaha mempromosikan warisan berbilang budaya di Sarawak.

Katanya, pesta tahun ini turut menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan kebudayaan antarabangsa dari China (Kota Ningde, Daerah Gutian, Kota Fuding dan Kota Putian), Indonesia (Jakarta) dan Brunei (Kuala Belait), selain penyertaan kumpulan kebudayaan dari Sabah seperti Tompuvan dan Kumpulan Budayawan.

Sukan tradisional seperti pertandingan buaian 'itut' akan bermula pada 3 September manakala pertandingan menyumpit pula diadakan pada 5 September.

Malam pembukaan pada 6 September bakal dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, manakala majlis penutupan pada 12 September akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Pengisian malam kebudayaan khas lain merangkumi Malam Cina pada 7 September yang bakal dirasmikan Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Dato Seri Tiong King Sing, Malam Dayak (8 September) oleh Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi serta Malam Melayu/Melanau (9 September) oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee.

Bagi memastikan keselamatan serta kelancaran trafik, Jalan Bujang Suntong akan ditutup sementara pada 6, 11 dan 12 September ini. 

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

 
  • oleh

 



image Undian
image Pengumuman