RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Buaian gergasi tradisional Melanau, Itut, yang menjadi antara tarikan ikonik sempena Festival Kebudayaan Borneo (BCF) 2026 dijangka dibina agak rendah berbanding sebelum ini akibat kesukaran mendapatkan struktur kayu balak yang cukup panjang.
Penyelaras merangkap Pengerusi Penganjur Itut, Kaunselor Abang Carrol Abang Dris berkata, ketinggian struktur buaian gergasi pada edisi kali ini dianggarkan sekitar 50 kaki, berbanding hampir 60 kaki yang dicatatkan pada tahun lepas.
"Tahun ini ketinggiannya sedikit rendah berbanding tahun lalu kerana kita tidak dapat mendapatkan batang kayu balak tunggal yang panjang.
"Bagaimanapun, bahan-bahan pembinaan kini sudah berada di tapak dan kita berada dalam landasan tepat untuk menyiapkan binaannya menjelang 29 Ogos ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Penganjur BCF 2026 di sini pada Rabu.
Buaian Itut akan didirikan di Dataran Tun Tuanku Bujang dan acara perasmian khas bagi slot berkenaan dijadualkan berlangsung pada 3 September, serentak dengan tersingkapnya tirai BCF 2026 yang dianjurkan Majlis Perbandaran Sibu (MPS).
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Itut bukan sekadar permainan tradisional warisan kaum Melanau, sebaliknya telah menjadi simbol perpaduan atau 'buaian berbilang kaum' yang dinantikan oleh seluruh warga Sibu.
"Seperti biasa, semua warga Sibu dan pengunjung luar tanpa mengira kaum sama ada Melanau, Cina, Dayak mahupun pelancong antarabangsa, semua dijemput untuk merasai sendiri pengalaman berayun di atas buaian gergasi ini," tambahnya.
Untuk rekod, penganjuran Itut pada edisi BCF 2025 telah mencatatkan sejarah tersendiri apabila berjaya menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dalam kategori jumlah pengunjung terbanyak berayun di atas buaian itut dalam satu acara
Seramai 2,288 orang telah mengambil bahagian sepanjang festival berlangsung, melepasi sasaran awal iaitu 2,000 peserta.
BCF 2026 yang memasuki edisi ke-22 akan berlangsung selama 10 hari bermula 3 hingga 12 September depan dengan pelbagai pengisian kebudayaan, persembahan pentas utama dan pameran kraf tangan tempatan.