Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

Suri rumah di Sibu rugi RM317,000 terperdaya 'bomoh'

Disiarkan pada 24 Aug 2026
Sumber Berita: Utusan Borneo Online

SIBU: Seorang suri rumah warga emas berusia dalam lingkungan 70-an mengalami kerugian RM317,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan rawatan tradisional atau 'bomoh' secara bersemuka di sini.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad (gambar) berkata pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada mangsa pada Ahad dan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, kejadian bermula pada 19 Julai lalu apabila mangsa didatangi seorang wanita tidak dikenali yang dipercayai warga China berdasarkan loghat percakapannya di kawasan Pasar Sibu, sebelum bertanyakan lokasi kedai ubat tradisional bagi mendapatkan ubat untuk ibu mertuanya.

"Kemudian, seorang lagi wanita dengan loghat sama telah menghampiri mangsa dan menawarkan untuk membawa mereka ke sebuah kedai milik saudaranya. Mangsa kemudiannya dibawa ke dalam sebuah kenderaan.

"Semasa di dalam kenderaan, salah seorang suspek mendakwa mampu membaca wajah mangsa dan memberi amaran bahawa anak mangsa akan terlibat dalam kemalangan jalan raya yang serius pada hari tersebut," katanya dalam kenyataan media lewat malam Ahad.

Abang Zainal Abidin berkata suspek seterusnya menawarkan upacara perlindungan dan mengarahkan mangsa menyerahkan wang tunai serta barang kemas milik mangsa bagi tujuan berkenaan.

"Ekoran bimbang akan keselamatan anaknya, mangsa telah mengikut arahan dan menyerahkan wang tunai serta barang kemas kepada suspek dengan nilai kerugian dianggarkan RM317,000," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan ugutan atau janji manis daripada individu tidak dikenali yang menawarkan rawatan tradisional, ritual atau upacara buang sial dengan meminta wang tunai atau barang kemas sebagai imbuhan.

Orang ramai yang memerlukan nasihat atau maklumat lanjut berhubung kes penipuan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau menyemak akaun bank serta nombor telefon meragukan di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.

 
  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman