RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Sukan raket baharu yang dikenali sebagai TYPTI diperkenalkan di My Centre, di sini Sabtu lepas sebagai satu lagi inisiatif menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan masyarakat setempat.
Dianjurkan Kelab Fanatik Pickleball (FPC), acara berkenaan memberi peluang kepada peserta mencuba TYPTI, iaitu sukan raket ala tenis mini yang dimainkan di gelanggang bersaiz lebih kecil.
Presiden FPC Dr Lau Hui Ong berkata sukan itu memberi tumpuan kepada pergerakan, koordinasi, kawalan bola, gerak kaki dan kemahiran menggunakan raket, sekali gus sesuai untuk pemain baharu mahupun peminat sukan raket berpengalaman.
“Kita mengalu-alukan para peminat untuk datang mencuba permainan ini yang menjanjikan banyak tarikan, keseronokan dan hiburan,” katanya.
Dr Lau berkata, TYPTI Open Play akan diadakan setiap Sabtu bermula 5 September ini, dari jam 7 malam hingga 9 malam.
Selain memberi manfaat fizikal seperti meningkatkan ketangkasan, keseimbangan dan kecergasan kardiovaskular, Dr Lau berkata TYPTI turut menggalakkan interaksi sosial dan penyertaan aktif dalam kalangan masyarakat.
“Ia juga boleh melengkapi latihan pickleball dengan membantu meningkatkan gerak kaki, pukulan topspin dan kawalan raket secara keseluruhan,” jelasnya.
Dr Lau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu kerana menghantar wakil menghadiri sesi TYPTI Open Play Sabtu lalu.
“Sokongan sebegini sememangnya memberi lebih makna kepada pengenalan aktiviti sukan baharu ini dan diharapkan dapat mendorong lebih ramai pemain menceburi sukan TYPTI,” katanya.
TYPTI merupakan sukan raket hibrid yang pantas, dicipta oleh pengasas Tennis Channel Steve Bellamy dan dilancarkan pada Januari 2026.
Ia menggabungkan elemen tenis, pickleball dan badminton serta dimainkan di gelanggang pickleball standard menggunakan raket bertali khas berukuran 22 inci dan bola buih yang menghasilkan lantunan tinggi tetapi kurang bising.
Menurut Dr Lau, sukan itu telah dimainkan di Amerika Syarikat sejak dua tahun lalu dan kini semakin mendapat pengiktirafan di seluruh dunia.
Setakat ini, kira-kira 50 pemain telah menyertai sukan TYPTI sejak ia diperkenalkan di My Centre Sabtu lalu.
“FPC berharap TYPTI akan terus berkembang di Sibu dan menjadi satu lagi pilihan menyeronokkan untuk masyarakat kekal aktif, sihat serta berhubung antara satu sama lain melalui sukan,” katanya.
Orang ramai yang berminat mencuba sukan berkenaan boleh menghubungi Dr Lau di talian 019-2126787 untuk maklumat lanjut.