Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

16 usahawan dan belia sertai bengkel digital SDC Selangau

Disiarkan pada 27 Aug 2026
Sumber Berita: Utusan Borneo Online
SIBU: Seramai 16 orang terdiri daripada usahawan dan belia tempatan menyertai Bengkel Kamek Digital anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) bersama Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak menerusi program Juara Digital Sarawak (SDC) bagi Daerah Selangau.

Bengkel Siri 1 itu berlangsung dengan jayanya di Pusat NADI Tamin, Selangau, baru-baru ini, hasil kerjasama SDC Selangau yang diterajui Ricky Enteri bersama NADI Tamin dan SABERKAS Cawangan Tamin.

Penganjuran bengkel berkenaan merupakan antara usaha memperkasa komuniti setempat menerusi penerapan kemahiran serta pengetahuan digital, khususnya dalam kalangan usahawan dan golongan belia agar lebih bersedia menghadapi perkembangan ekonomi digital.

Program SDC merupakan inisiatif pemerkasaan komuniti yang diterajui SDEC dengan AZAM Sarawak sebagai rakan pelaksanaan, bertujuan melatih dan melantik ejen perubahan digital di setiap daerah bagi memperkukuh tahap literasi digital dalam kalangan masyarakat.

Dilancarkan secara rasmi pada awal tahun 2026, program itu menyasarkan pembangunan Juara Digital menerusi latihan kepada wakil komuniti terpilih dari kesemua 45 daerah di Sarawak untuk menjadi peneraju transformasi digital di peringkat akar umbi.

Selain memperkasa masyarakat dengan pengetahuan teknologi, inisiatif berkenaan turut memberi tumpuan kepada membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan menguasai alatan digital serta mengadaptasi kaedah perniagaan berasaskan teknologi.

Usaha tersebut sekali gus diharap dapat mengukuhkan ekosistem digital di peringkat tempatan menerusi perkongsian ilmu dan kepakaran, selaras dengan tema SDC, 'Inovasi Digital, Komuniti Diperkasa'.

Bagi Daerah Selangau, penglibatan 16 peserta dalam Bengkel Kamek Digital Siri 1 mencerminkan sambutan positif komuniti setempat terhadap usaha memperluas akses kepada pengetahuan dan kemahiran digital, khususnya dalam kalangan golongan yang terlibat secara langsung dalam aktiviti keusahawanan.

Majlis penyampaian sijil kepada peserta disempurnakan oleh Pengurus Pusat NADI Tamin Mathew Kalat sebagai tanda penghargaan atas penyertaan dan komitmen sepanjang program.

Program berkenaan diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak usaha pendigitalan di Selangau, sekali gus melahirkan lebih ramai komuniti dan usahawan yang berdaya saing serta mampu memanfaatkan teknologi dalam kehidupan dan aktiviti ekonomi mereka.
 

  • oleh

 


image Undian
image Pengumuman