RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
Dalam satu kenyataan media semalam, Majlis Perbandaran Sibu (MPS) memaklumkan bahawa BCF akan berlangsung pada 5 hingga 14 September di Dataran Tun Tuanku Bujang, meliputi Fasa 1 dan kawasan TRADEX di Fasa 2.
Menurut MPS, semua pengusaha gerai akan mula berniaga pada 5 September.
"Keputusan ini dibuat sebagai langkah berjaga-jaga berikutan keadaan jerebu yang melanda dan kualiti udara yang semakin merosot, dengan kesihatan serta keselamatan orang awam, penghibur, kakitangan dan peserta menjadi keutamaan kita," ujarnya.
Bagaimanapun, persembahan di pentas utama akan berlangsung seperti dijadualkan dari 6 hingga 12 September.
MPS berkata, kehadiran dan penyertaan dalam aktiviti luar adalah secara sukarela.
"Orang ramai dinasihatkan supaya membuat pertimbangan sendiri, memakai pelitup muka yang sesuai jika perlu, memastikan tubuh kekal terhidrat dengan minum air secukupnya serta mengambil langkah berjaga-jaga terhadap jerebu dan cuaca panas," katanya.
MPS turut memaklumkan bahawa pihaknya akan terus memantau keadaan dengan rapat dan berhak untuk menangguhkan atau mengubah suai program sekiranya keadaan menimbulkan risiko terhadap kesihatan dan keselamatan awam.
Untuk rekod, sebelum pengumuman penangguhan dibuat, BCF pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 12 September.
Sementara itu, MPS menggesa pengunjung supaya turut memainkan peranan dalam memastikan kawasan festival kekal selamat, bersih dan teratur agar semua pihak dapat menikmati festival dengan selesa.
Orang ramai turut diingatkan supaya meletakkan kenderaan di tempat yang betul dan tidak meletakkan kenderaan di atas pembahagi atau median jalan sepanjang festival yang berlangsung pada 5 hingga 14 September.
MPS juga mengingatkan pengunjung bahawa aktiviti tanpa kebenaran dan penjaja haram adalah dilarang dalam kawasan festival.
"Orang ramai diminta supaya tidak membuang sampah merata-rata dan membantu memastikan kawasan festival sentiasa bersih serta teratur.
"Tindakan sewajarnya, termasuk pengeluaran notis kompaun dan tindakan penguatkuasaan lain yang diperlukan, akan diambil terhadap sebarang pelanggaran," katanya.