RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Perubahan gaya hidup masa kini yang menyaksikan sebahagian golongan muda semakin bergantung kepada ibu bapa dalam menguruskan keperluan asas kehidupan perlu diberi perhatian serius.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak Lamat Nyalau berkata, keadaan itu termasuk dalam perkara asas seperti menyediakan makanan, menguruskan keperluan harian dan melakukan tugasan yang sepatutnya mampu dilakukan sendiri.
Menurutnya, perkembangan teknologi dan kemudahan moden sememangnya banyak membantu kehidupan seharian, namun pada masa sama ia tidak seharusnya menyebabkan golongan belia mengabaikan kemahiran praktikal serta keupayaan untuk berdikari.
“Perubahan gaya hidup pada masa kini menyebabkan sebahagian anak muda semakin bergantung kepada ibu bapa dalam melakukan perkara-perkara asas termasuk menyediakan makanan dan menguruskan keperluan harian.
“Justeru, program seperti Kem Rakan Muda ini amat penting kerana ia memberi pendedahan kepada peserta mengenai kemahiran hidup, asas memasak, penyediaan makanan serta kemahiran untuk berdikari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kem Rakan Muda Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Kem Belia Kemuyang, di sini, yang berlangsung selama empat hari bermula dari 28 hingga 31 Ogos lalu.
Kem Rakan Muda Peringkat Negeri Sarawak 2026 dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan Bahagian Sibu dengan kerjasama strategik Kelab Rakan Muda Lanang (KERAMUL) yang disertai seramai 42 peserta daripada seluruh Sarawak.
Sepanjang kem berlangsung, para peserta turut mengikuti pelbagai aktiviti bagi membentuk sahsiah, kemahiran hidup, semangat berpasukan dan jati diri.
Lamat berkata, pengisian yang memberi penekanan kepada kemahiran praktikal amat bersesuaian dengan keperluan generasi muda ketika ini, khususnya dalam membentuk keyakinan diri dan kemampuan mengurus kehidupan tanpa terlalu bergantung kepada orang lain.
“Program seperti ini memberikan nilai tambah kepada diri peserta. Saya percaya selepas mengikuti kem ini, mereka akan membawa pulang pengalaman dan kemahiran yang dapat membantu mereka menjadi lebih berdikari,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan golongan belia supaya tidak terlalu bergantung kepada telefon pintar dan teknologi sehingga mengabaikan keupayaan untuk berinteraksi, menyelesaikan masalah dan menjalani kehidupan sebenar secara berdikari.
Katanya, teknologi tetap memainkan peranan penting dalam kehidupan moden, namun penggunaannya perlu diseimbangkan dengan kemahiran praktikal, interaksi sosial dan pengalaman kehidupan sebenar.
“Teknologi penting, tetapi jangan sampai kita terlalu bergantung kepadanya sehingga kemahiran asas dan keupayaan untuk berdikari semakin terhakis,” katanya.
Mengulas mengenai pembangunan belia, Lamat berkata, golongan muda merupakan aset penting kepada Sarawak dan negara kerana mereka bakal menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin serta peneraju pembangunan pada masa hadapan.
Beliau turut menjelaskan terdapat perbezaan takrifan umur belia antara peringkat Persekutuan dan Sarawak, dengan golongan belia di peringkat Persekutuan ditakrifkan sehingga usia 30 tahun, manakala di Sarawak merangkumi mereka sehingga 40 tahun.
“Dengan jumlah golongan belia yang besar di Sarawak, pembangunan mereka merupakan satu agenda penting kerana generasi muda hari ini adalah bakal pemimpin yang akan meneruskan pembangunan negeri dan negara.
“Pemimpin datang dan pergi. Generasi yang ada di hadapan kita pada hari ini merupakan generasi yang satu hari nanti akan memainkan peranan dalam membangunkan Sarawak dan negara,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru peserta Kem Rakan Muda supaya membawa pulang bukan sahaja kenangan, tetapi juga nilai disiplin, keyakinan diri, semangat kerjasama dan kemahiran yang dipelajari sepanjang program.
Lamat turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, urus setia, fasilitator dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan program berkenaan berlangsung dengan lancar dan berjaya.
Beliau berharap peserta menjadikan tamatnya kem tersebut sebagai titik permulaan untuk terus meningkatkan kemahiran diri, mengamalkan gaya hidup lebih berdikari dan aktif menyumbang kepada komuniti masing-masing.
Hadir sama ialah Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sibu Nur Fatheen Khairuzan Seleman dan Setiausaha KERAMUL Chew Jia Bao.