Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

BSMM Sibu anjur Sambutan Hari Pertolongan Cemas Sedunia 2026 Ahad ini

Posted on 04 Sep 2026
Source of News: Utusan Borneo Online
SIBU: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Sibu akan menganjurkan Sambutan Hari Pertolongan Cemas Sedunia 2026 di Hotel Kingwood di sini pada Ahad ini yang, bertujuan meningkatkan kesedaran awam serta kemahiran menyelamatkan nyawa dalam kalangan masyarakat. 

Pengerusi BSMM Cabang Sibu Penghulu Chua Hiong Kee berkata program yang bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari itu dianjurkan bersempena dengan sambutan peringkat global pada hari Sabtu kedua setiap bulan September. 

Beliau berkata kemahiran pertolongan cemas bukan sekadar ilmu perubatan khusus, sebaliknya merupakan tindakan kemanusiaan asas yang wajar dikuasai oleh setiap individu tanpa mengira latar belakang. 

"Pengetahuan pertolongan cemas memberi keyakinan kepada orang awam untuk bertindak pantas dan betul semasa berlakunya kemalangan, kecederaan atau penyakit secara mendadak sebelum bantuan pakar perubatan tiba," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Chua berkata pelbagai aktiviti interaktif dan perkhidmatan percuma disediakan kepada pengunjung, antaranya demonstrasi serta latihan praktikal pertolongan cemas merangkumi Resusitasi Kardiopulmonari (CPR), penggunaan Defibrilator Luaran Automatik (AED) dan bantuan kecemasan kes tercekik. 

Turut diadakan ialah tunjuk cara balutan luka, rawatan awal patah tulang, kedudukan pemulihan (recovery position), kaedah pengangkutan mangsa serta pengurusan mangsa tidak sedarkan diri. 

Selain itu, perkhidmatan saringan kesihatan percuma seperti ujian paras kolesterol, glukosa dan feritin (zat besi) turut disediakan dengan kerjasama Alpro Pharmacy dan Biolife Lab (Sibu) Sdn Bhd. 

Hospital Sibu turut bekerjasama menganjurkan aktiviti promosi kesihatan merangkumi pameran kawalan jangkitan, kempen 'Kenali Ubat Anda', pendaftaran pendermaan organ serta pendidikan kesihatan berkaitan diabetes dan HIV. 

Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai di sekitar daerah ini hadir beramai-ramai bagi memanfaatkan peluang mempelajari kemahiran praktikal yang berupaya menyelamatkan nyawa sekali gus membantu membina komuniti yang lebih selamat dan berdaya tahan.

  • oleh


image Undian
image Pengumuman