RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
Penyelaras Utama Pentas Dayak Kaunselor Augustine Merikan berkata, penganjuran BDCF yang memasuki edisi ke-23 membuktikan komitmen masyarakat Dayak dalam memastikan warisan budaya terus dipelihara dan diwarisi generasi akan datang.
Beliau berkata, sejarah penganjuran berkenaan bermula seawal 1997 menerusi perjumpaan berskala kecil masyarakat Iban dan Dayak di Rumah Temuai sebelum sambutan Hari Gawai yang dianjurkan oleh kumpulan pimpinan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU).
"Daripada usaha secara kecil-kecilan, ia kemudian berkembang menjadi Borneo Extravaganza sebelum dikenali sebagai Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) pada 2004.
"Masyarakat Dayak bagaimanapun mengekalkan nama BDCF bagi penganjuran di pentas ini sebagai usaha mempertahankan nilai serta jati diri kebudayaan kami," katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis penganjuran perayaan berkenaan di sini malam tadi.
Mengulas penganjuran tahun ini, Augustine berkata, BDCF membawa tema 'Echoes of Borneo' yang mengetengahkan kepelbagaian seni dan budaya masyarakat Dayak.
Katanya, antara pengisian utama ialah persembahan tarian Ngajat menerusi kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dayak tempatan termasuk SDNU, Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS), Pertubuhan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dan Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA).
Beliau berkata, kelainan utama penganjuran kali ini ialah persembahan Orkestra Betaboh yang menampilkan lebih 20 pemuzik berbanding tradisi asal yang hanya membabitkan empat pemain instrumen.
"Persembahan tradisional Betaboh menggunakan instrumen seperti gong, beduk, engkerumong dan bebendai, manakala penglibatan lebih ramai pemuzik dalam orkestra kali ini memberi pendekatan berbeza terhadap persembahan tersebut," ujar beliau.
Selain persembahan kebudayaan, acara berkenaan turut menyaksikan pertandingan Miss BDCF yang menampilkan lapan finalis bagi merebut gelaran tahun ini.
Augustine berkata, pengisian berkenaan melengkapkan penganjuran BDCF yang mengetengahkan aspek seni, kebudayaan dan penyertaan masyarakat dalam satu acara.
Menurutnya, penganjuran BDCF juga memberi ruang kepada generasi muda untuk mengenali seni dan tradisi masyarakat Dayak serta memahami kepentingan memelihara warisan tersebut.
Beliau berkata, kesinambungan penganjuran program berkenaan penting bagi memastikan budaya masyarakat Dayak terus dikenali dan tidak terpinggir dalam perkembangan masyarakat moden.
Dalam pada itu, beliau berkata, maskot BDCF bagi edisi kali ini kekal menggunakan spesies engkuli atau harimau dahan sebagai sebahagian daripada mesej kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan fauna terancam.
"Penggunaan engkuli sebagai maskot membawa mesej mengenai kepentingan melindungi hidupan liar serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemeliharaan fauna dan habitatnya," jelasnya.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak William Anut, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting dan Temenggung Stanley Geramong Bandar.