RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
Reaksi itu diberikan bagi mengulas hantaran yang dimuat naik oleh Setiausaha Agung Parti Bumi Kenyalang (PBK) Priscilla Lau di Facebook beliau baru-baru ini.
Dalam hantaran berkenaan, Lau berkongsi tangkap layar aduan yang dikirimkan kepadanya, yang mendesak supaya penganjuran BCF ditangguhkan serta-merta atas alasan ancaman terhadap kesihatan awam.
Menjawab dakwaan tersebut, Ting menegaskan bahawa situasi semasa di bandar Sibu menunjukkan kehidupan seharian masyarakat setempat masih berjalan seperti biasa.
"Sesi persekolahan masih beroperasi seperti biasa, kedai-kedai kopi kekal dibuka dan aktiviti harian penduduk di Sibu berjalan seperti biasa.
"Mengapa mereka bersungguh-sungguh mendesak supaya BCF ditutup?" katanya ketika mengulas isu berkenaan.
Ting menjelaskan bahawa penganjuran BCF merupakan acara besar yang memberi impak kepada pelbagai lapisan masyarakat dan ekonomi tempatan.
"BCF melibatkan ribuan orang, merangkumi pengunjung, persembahan, peniaga serta komuniti Sibu secara keseluruhannya.
"Oleh itu, sebarang keputusan untuk meneruskan, mengubah suai atau menangguhkan aktiviti perlu mengambil kira keadaan keseluruhan dan penilaian rasmi terkini," jelas beliau.
Beliau menekankan bahawa isu pencemaran udara tidak harus dipandang ringan, namun tindak balas terhadapnya perlu berpandukan fakta dan saluran rasmi.
"Kita sepatutnya mengambil serius isu jerebu ini tetapi pada masa yang sama, kita juga harus kekal rasional dan bersikap terukur.
"Sekiranya keadaan semakin memburuk dan pihak berkuasa menasihatkan supaya aktiviti ditangguhkan, maka tindakan sewajarnya sudah tentu akan diambil," tegasnya.
Mengulas mengenai kehadiran pengunjung dan penglibatan peniaga di tapak festival, Ting menyatakan bahawa tiada sebarang unsur paksaan dikenakan oleh pihak majlis.
"Jika ibu bapa merasakan keadaan jerebu adalah tidak baik, maka jangan membawa anak-anak hadir. Jika peniaga gerai menganggap jerebu membahayakan, mereka boleh memilih untuk menutup gerai. Tiada siapa yang memaksa sesiapa untuk kekal beroperasi.
"Sehingga arahan rasmi dikeluarkan, marilah kita elakkan daripada mewujudkan ketakutan yang tidak perlu atau memberi tanggapan seolah-olah keseluruhan Sibu terhenti, sedangkan hakikatnya kehidupan seharian tetap berjalan seperti biasa," tambah beliau.