RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Pemimpin dan pegawai kerajaan perlu komited terhadap tugas selain mempunyai pengetahuan yang baik mengenai undang-undang, peraturan serta prosedur berkaitan bagi memastikan setiap tindakan yang diambil adalah adil, telus dan bertanggungjawab.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh berkata, pengetahuan mengenai perkara berkenaan amat penting kerana niat baik semata-mata tidak mencukupi dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab.
Menurutnya, peraturan tidak seharusnya dilihat sebagai halangan, sebaliknya dijadikan panduan dalam memastikan setiap tindakan dilaksanakan dengan betul dan berlandaskan tatacara yang ditetapkan.
“Kerjasama dan perpaduan juga amat penting kerana tiada seorang pun atau satu jabatan yang mampu menyelesaikan semua masalah secara bersendirian.
“Kita perlu bekerja sebagai satu pasukan,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penutup Program Peningkatan Profesionalisme Institusi Kampung dan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) N.53 Bawang Assan 2026 di Green EcoFarm di sini, semalam.
Teks ucapan beliau dibaca oleh Kaunselor Sean Wong.
Hadir sama pada program itu ialah Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Sibu Macgyver Boi, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sibu Sylvia Lau Gin Si serta yang lain.
Menurut Wong, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, beliau melihat peranannya sebagai penyelaras dan pemudah cara antara pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan serta pelbagai agensi berkaitan.
Kerjasama erat dengan Residen dan Pegawai Daerah katanya, juga amat penting bagi memastikan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan di peringkat akar umbi.
“Kepelbagaian masyarakat di DUN Bawang Assan harus menjadi kekuatan, bukannya pemisah,” tegasnya yang juga Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Wong yang juga Pengerusi PDP Bawang Assan berkata, jangkaan masyarakat terhadap perkhidmatan awam dan kepimpinan kini semakin tinggi, dengan rakyat mengharapkan perkhidmatan yang cekap, tadbir urus yang telus serta pemimpin yang benar-benar mendengar dan memahami kebimbangan mereka.
Oleh itu katanya, program seumpama itu bukan sekadar acara rutin, sebaliknya merupakan satu pelaburan penting dalam membentuk kepimpinan akar umbi yang berkemampuan dan boleh dipercayai.
“Pengetahuan serta kemahiran yang diperoleh melalui program ini hendaklah diterjemahkan kepada penambahbaikan sebenar dalam cara kita memberikan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kepimpinan bukan berkaitan gelaran atau jawatan, sebaliknya mengenai usaha membawa perubahan dan memberi manfaat kepada kehidupan masyarakat yang diamanahkan untuk diberi perkhidmatan.
"Setiap individu sama ada pegawai kerajaan, pemimpin masyarakat atau ketua kampung mempunyai peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan Bawang Assan.
“Setiap usaha yang dilakukan, walaupun kecil, menyumbang kepada kebaikan dan kemajuan yang lebih besar untuk Bawang Assan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa perkhidmatan awam pada asasnya adalah mengenai usaha berkhidmat kepada rakyat, manakala jawatan yang disandang merupakan satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan integriti, dedikasi dan rasa tanggungjawab.
“Rakyat tidak mengharapkan kesempurnaan, tetapi mereka mengharapkan keikhlasan, perhatian dan usaha terbaik daripada kita.
“Kepimpinan bukan tentang pangkat, tetapi tentang tanggungjawab dan komitmen kepada rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap ilmu dan pengalaman yang diperoleh menerusi program berkenaan dapat diterjemahkan kepada tindakan nyata serta membawa penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
“Pembangunan DUN Bawang Assan adalah tanggungjawab kita bersama. Jika kita bersatu, saya yakin kita dapat membina kawasan yang lebih harmoni, maju dan sejahtera,” tambahnya.
-UTUSAN BORNEO-