Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

Pameran mini Hari Malaysia medium berkesan dedah sejarah pembentukan negara

Posted on 14 Sep 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Penganjuran Pameran Mini Hari Malaysia 2026 Peringkat Bahagian Sibu menjadi medium berkesan dalam mendekatkan sejarah pembentukan negara kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

Residen Bahagian Sibu Superi Awang Said berkata, pameran tersebut bukan sekadar aktiviti sambutan tahunan sebaliknya memberi ruang kepada rakyat untuk menghayati perjalanan negara serta memperkukuh semangat patriotisme dan perpaduan.

"Generasi hari ini perlu memahami bahawa keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang kita nikmati bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan.

"Ia merupakan hasil perjuangan, pengorbanan, toleransi dan kebijaksanaan generasi terdahulu.

“Tanpa memahami sejarah, kita mungkin mengambil mudah nikmat keamanan yang ada pada hari ini.

“Justeru, sejarah perlu dijadikan sebagai panduan untuk kita melihat ke hadapan dan bukannya sekadar untuk mengimbau masa lalu," katanya menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalannya Christopher Ranggau Unting pada majlis perasmian pameran tersebut di Pasar Raya Bisonte di sini, hari ini.

Superi berkata, sejarah perlu dijadikan panduan untuk melihat ke hadapan dan bukannya sekadar untuk mengimbau masa lalu, bagi mengelakkan nikmat keamanan diambil mudah.

Sehubungan itu, beliau berharap para pengunjung dapat memanfaatkan pameran berkenaan untuk memahami dengan lebih dekat sumbangan Sarawak sebagai salah satu rakan pembentuk Malaysia.

“Justeru penghayatan terhadap Hari Malaysia perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas.

"Ia bukan semata-mata sambutan berbentuk perayaan, tetapi merupakan kesempatan untuk kita memahami sejarah, menghargai kepelbagaian serta mengukuhkan semangat kebersamaan sebagai sebuah negara yang berdaulat.

“Pameran yang diadakan pada hari ini amat bertepatan kerana sejarah perlu sentiasa diperkenalkan dan didekatkan dengan masyarakat, khususnya generasi muda,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Sibu dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Sibu selaku penganjur serta Pasa Raya Bisonte yang menyedia tempat penganjuran secara percuma.

Sementara itu, pameran berkenaan berlangsung selama seminggu bermula 10 September lalu dengan pelbagai bentuk cenderamata menanti pengunjung yang berjaya menjawab kuiz berkaitan Hari Malaysia.

Hadir sama, pemangku Pegawai Penerangan Daerah Sibu Sharifah Robiah Wan Hadion dan Pegawai UKAS Bahagian Sibu Jelani Ajang.

 
  • oleh

 



image Undian
image Pengumuman