RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Sekitar 250 hingga 300 peserta dijangka menyertai Gotong-Royong Hari Cuci Malaysia 2026 yang akan dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Sibu (MPS) di Taman Hui Ning, Grand Height pada Sabtu ini.
Pengerusi penganjur Kaunselor Aaron Teo Choon Teck berkata, program yang bermula jam 7 hingga 11 pagi itu dianjurkan sempena Hari Pembersihan Sedunia 2026 dan merupakan inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Program ini turut menjadi sebahagian daripada usaha menyumbang kepada pencapaian Buku Rekod Malaysia dengan sasaran penyertaan seramai 200,000 orang di seluruh negara," ujarnya pada sidang media di Bilik Mesyuarat MPS, hari ini.
Menurut Teo, selain aktiviti gotong-royong, pelbagai aktiviti turut disediakan di lokasi berkenaan termasuk saringan kesihatan percuma, zumba dan program 'Waste to Wealth'.
"Sebanyak 300 cenderamata turut disediakan untuk peserta terawal," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan orang ramai khususnya penduduk di kawasan Grand Height untuk menyertai program berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap usaha menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Program 'Waste to Wealth' katanya, akan bermula jam 1 hingga 4 petang di Gelanggang Bola Keranjang Bukit Lima Timur 14 dengan kerjasama JKKK Bukit Lima dan Belatok.
"Orang ramai digalakkan membawa barangan yang boleh dikitar semula seperti botol plastik, komputer, surat khabar lama dan barangan lain, termasuk minyak masak terpakai.
"Barangan berkenaan boleh dihantar ke Taman Hui Ning pada sebelah pagi atau ke Gelanggang Bola Keranjang Bukit Lima Timur 14 pada sebelah petang," ujarnya.
Teo juga berharap program dapat menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kebersihan, kitar semula dan penjagaan alam sekitar, sekali gus menjadikan Sibu sebuah bandar yang lebih bersih dan selesa untuk didiami.