RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
Program kolaboratif sehari yang berlangsung di Bilik Pengurusan Perniagaan, Blok 13, UTS itu mengetengahkan aktiviti pengucapan awam, pembentangan, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan dalam suasana pembelajaran yang interaktif.
Menerusi program berkenaan, peserta dibahagikan kepada 10 kumpulan sebelum menyertai tiga aktiviti utama yang direka bagi menguji dan memperkukuh kemahiran komunikasi mereka.
Aktiviti dimulakan dengan bengkel pengucapan awam yang dikendalikan pensyarah SFS Dr Sharifah Norliza Wan Junaidi yang memperkenalkan teknik menyusun idea, berkomunikasi dengan jelas dan menyampaikan pembentangan dengan yakin.
Peserta kemudiannya menyertai Survival Kit Presentation Challenge yang memerlukan mereka memilih lima barangan berguna berdasarkan situasi kecemasan sebelum membentangkan pelan kelangsungan hidup kumpulan masing-masing.
Dalam aktiviti Sell The Useless pula, peserta dicabar mengubah barangan biasa menjadi produk kreatif dan seterusnya menghasilkan pembentangan jualan yang mampu meyakinkan audiens.
Aktiviti terakhir, Amazing Race menampilkan lima stesen berasaskan komunikasi yang menguji penguasaan kosa kata, kemahiran mendengar, sebutan, penceritaan dan kerja berpasukan.
Sepanjang aktiviti, pelajar UTS bertindak sebagai fasilitator dan mentor dengan membimbing peserta, mengendalikan stesen serta memastikan setiap pelajar mendapat peluang untuk mengambil bahagian.
Pendekatan itu bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran secara praktikal kepada pelajar SMK Agama Sibu, malah mewujudkan interaksi antara pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Program diketuai Pengerusi Pengelola merangkap pensyarah SFS Shahira Johan dengan sokongan Sharifah Norliza, Nur Fatehah Nazry Nelly, Nur Syafiqah Ayum dan Jacyntha Eleanor Damien.
Pengetua SMK Agama Sibu Rosnah Mahamud turut hadir pada majlis penutupan bagi meraikan pencapaian peserta dan menyampaikan anugerah Penyampai Lelaki Terbaik serta Penyampai Wanita Terbaik.
Anugerah turut diberikan kepada kumpulan yang menerima undian tertinggi dalam aktiviti pembentangan produk serta kumpulan yang muncul sebagai pemenang keseluruhan.
SFS UTS turut merakamkan penghargaan kepada Rokiah Mantali dari SMK Agama Sibu atas kepercayaan dan komitmen meneruskan kerjasama dalam penganjuran program berkenaan.
Kerjasama tersebut memasuki tahun ketiga berturut-turut, mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam menyediakan peluang pembelajaran berasaskan pengalaman serta memperkukuh pembangunan kemahiran pelajar.