Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

Berita

 

Program Kesejahteraan Komuniti Bebas Dadah

Disiarkan pada 19 Sep 2026
Sumber Berita: UTUSAN BORNEO

SIBU: Usaha membanteras penyalahgunaan dadah tidak akan membawa hasil sekiranya keluarga sendiri gagal memainkan peranan dalam memantau, mendidik dan memberi perhatian secukupnya kepada anak-anak.

Temenggung Dato Sri Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad berkata, keluarga merupakan benteng pertama dalam mencegah golongan muda daripada terjebak dengan gejala penyalahgunaan dadah.

Menurut beliau, sebanyak mana pun program kerajaan atau kempen memerangi dadah dilaksanakan, usaha berkenaan tidak akan mencapai matlamat sekiranya pencegahan tidak bermula dari rumah.

“Masalah membanteras dadah ini bermula dari keluarga sendiri. Ia bermula dari keluarga itu sendiri.

“Berapa banyak program yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membanteras dadah atau kempen memerangi dadah pun tidak guna jika keluarga sendiri tidak mengambil berat tentang anak-anak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Program Kesejahteraan Komuniti Bebas Dadah ‘Bersama Kita Cegah, Komuniti Sejahtera’ di Dewan Hornbill, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini, hari ini.

Program anjuran bersama Pejabat Daerah Sibu dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu itu disertai lebih 100 ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) dari daerah Sibu.

Wan Hamid turut menyeru ibu bapa supaya tidak mengambil mudah perubahan tingkah laku anak-anak, sebaliknya memberikan kasih sayang, perhatian dan bimbingan yang sewajarnya sebagai langkah awal mencegah mereka daripada terpengaruh dengan penyalahgunaan dadah.

Wan Hamid (duduk tengah), Ong (duduk, dua kanan), Sharifah (duduk, empat kiri) serta yang lain merakamkan kenangan bersama KMKK yang menyertai Program Kesejahteraan Komuniti Bebas Dadah di Sibu, hari ini.

“Sayanglah keluarga anda. Kalau anak, sayangi mereka dengan baik serta berilah perhatian kepada mereka dengan secukupnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan peranan membanteras dadah bukan hanya terletak di bahu agensi penguat kuasa, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif masyarakat di peringkat akar umbi.

Sehubungan itu, beliau menyeru Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), khususnya di rumah-rumah panjang dan kampung, supaya lebih peka terhadap keadaan golongan belia di kawasan masing-masing.

Katanya, JKKK perlu menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa bagi mengesan lebih awal sebarang kegiatan berkaitan dadah sebelum masalah itu merebak dan menjejaskan lebih ramai anggota masyarakat.

“JKKK harus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa untuk membanteras gejala ini.

“Laporkan segala kegiatan dadah di kawasan mereka dengan segera,” ujarnya.

Beliau berkata, pendekatan pencegahan di peringkat komuniti amat penting kerana masyarakat setempat merupakan pihak yang paling hampir dengan golongan belia dan berupaya mengesan perubahan atau kegiatan mencurigakan lebih awal.

Menurutnya, kerjasama erat antara keluarga, pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan komuniti perlu diperkukuh secara berterusan bagi memastikan usaha mewujudkan persekitaran bebas dadah tidak terhenti sekadar kempen atau program bermusim.

Tambahnya, tanggungjawab itu perlu dipikul bersama kerana masa depan generasi muda bergantung kepada sejauh mana masyarakat hari ini mampu bertindak awal dalam membendung pengaruh dadah.

Hadir sama ialah Pemanca Sharifah Ainie Sayed Alwie dan Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sibu Cynthia Ong.

-UTUSAN BORNEO-


image Undian
image Pengumuman