☰Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

Dewan Serbaguna Sibu Jaya berwajah baru, sedia digunakan

Posted on 29 Sep 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Dewan Serbaguna Sibu Jaya kini sedia dibuka dan digunakan semula oleh warga komuniti setempat selepas kerja penyelenggaraan dan pembaikan fasiliti selesai sepenuhnya.

Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai berkata dewan yang terletak berhampiran Masjid Lama Sibu Jaya itu kini berwajah baharu dan dibuka untuk pelbagai tempahan.

Beliau menjelaskan, objektif utama pengoperasian semula dewan berkenaan adalah untuk memenuhi keperluan penduduk setempat, selain menyokong pelbagai penganjuran program kemasyarakatan, pendidikan dan sukan.

Menurut Sempurai, kawasan Sibu Jaya kini mempunyai dua buah dewan awam utama di bawah seliaan pihak majlis yang dilengkapi kemudahan khusus untuk kegunaan pelbagai lapisan masyarakat.

Fasiliti pertama adalah Dewan Komuniti Sibu Jaya yang dilengkapi dengan gelanggang badminton, manakala fasiliti kedua adalah Dewan Serbaguna Sibu Jaya yang kini diperkenalkan dengan dua gelanggang pickleball.

Mengimbas kembali penutupan dewan tersebut sebelum ini, beliau memberitahu bahawa dewan berkenaan terpaksa ditutup sementara waktu bagi memberi ruang kepada kerja-kerja pembaikan kerosakan bangunan serta penyelenggaraan sistem pendingin hawa.

"Kini kerja-kerja membaiki kebocoran dan pendingin hawa telah selesai, menjadikan ruang dewan lebih selesa, kondusif dan berhawa dingin sepenuhnya untuk penganjuran pelbagai majlis," katanya pada sidang media, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan jawatankuasa tempatan untuk memanfaatkan sepenuhnya kedua-dua dewan bagi majlis perkahwinan, majlis makan malam tahunan, seminar mahupun kejohanan sukan.

Bagi kadar sewaan Dewan Serbaguna Sibu Jaya, penggunaan untuk program atau majlis rasmi ditetapkan pada kadar RM450 berserta kadar deposit sebanyak RM300 yang akan dikembalikan.

Bagi penggemar sukan pickleball, sewaan pada hari biasa adalah RM10 sejam dari jam 8 pagi hingga 6 petang dan RM20 sejam dari jam 6 petang hingga 10  malam manakala kadar hujung minggu ialah RM15 sejam dari 8 pagi hingga  6 petang dan RM25 sejam dari jam 6 petang hingga jam 10 malam.

Pihak MDLBS turut menetapkan bahawa tempahan gelanggang pickleball perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal, selain mengingatkan pengguna supaya sentiasa menjaga kebersihan serta mengembalikan peralatan dipinjam dalam tempoh satu hari selepas aktiviti tamat.

Orang ramai yang ingin menyewa atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi pegawai bertugas Roswati di talian 011-10568119 atau Andy Buja (012-8931129).

  • oleh


image Undian
image Pengumuman