RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
Timbalan Residen Bahagian Sibu Christopher Ranggau Unting berkata pelaksanaan di lokasi berfasiliti lengkap dan mudah diakses tidak menggambarkan cabaran sebenar yang perlu dihadapi oleh pasukan penyelamat.
"Bencana bukan hanya melibatkan kebakaran. Kita juga berdepan kejadian seperti banjir dan tanah runtuh yang boleh berlaku berulang kali termasuk kejadian yang menjejaskan rumah panjang dan penempatan penduduk.
"Atas sebab itu, simulasi seperti ini penting namun saya berharap pada masa akan datang, simulasi tidak hanya dijalankan di lokasi yang mempunyai kemudahan lengkap dan akses yang mudah.
"Sebaliknya, ia perlu turut dilaksanakan di kawasan yang mempunyai kekurangan dari segi penginapan, kemudahan dan aksesibiliti supaya kita dapat melihat bagaimana semua agensi bertindak dalam keadaan sebenar," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan MUC hari ini.
Christopher menegaskan, latihan simulasi tidak harus dianggap sebagai aktiviti mainan semata-mata, sebaliknya perlu mendedahkan kelemahan yang mungkin timbul semasa kejadian sebenar.
"Kita tidak seharusnya menganggap simulasi sebagai satu permainan. Simulasi perlu menggambarkan situasi sebenar dan menguji sejauh mana kita mampu bertindak apabila berdepan bencana.
"Terdapat banyak perkara yang kita fikir tidak sepatutnya berlaku, tetapi akhirnya berlaku apabila berdepan situasi sebenar.
"Atas sebab itu simulasi amat penting bagi mengenal pasti kelemahan, memperjelas tanggungjawab dan memastikan setiap agensi memahami peranan masing-masing," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa penambahbaikan dari segi pembahagian tugas antara agensi agar tidak timbul sebarang kekeliruan ketika menguruskan PPS.
Katanya, perkara seperti tanggungjawab membuka PPS, penyediaan makanan, kawasan memasak serta keperluan lain perlu dimuktamadkan dengan jelas oleh setiap pihak yang terlibat.
Selain itu, Christopher turut menyentuh mengenai pelaksanaan sistem pendaftaran mangsa di PPS yang sepatutnya mengguna pakai teknologi kod QR.
Dalam mesyuarat beberapa bulan lalu di Kuching katanya, pendaftaran mangsa di pusat pemindahan sepatutnya dilakukan menggunakan kod QR.
"Apabila mangsa tiba di pusat pemindahan, mereka hanya perlu mengimbas kod QR dan tidak lagi perlu membuat pendaftaran secara manual.
“Kita perlu melihat sejauh mana sistem ini berjaya dilaksanakan kerana data pendaftaran itu penting, termasuk bagi tujuan penyaluran bantuan kepada mangsa.
"Jika sistem ini berjaya, kita boleh memberikan maklum balas kepada pihak berkaitan supaya kaedah tersebut dapat terus ditambah baik dan dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya.