RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan mengadakan mesyuarat pascanilai serta merancang lawatan penandaarasan ke beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Semenanjung Malaysia susulan kejayaan memperoleh Penarafan Lima Bintang daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Pengerusi MPS Clarence Ting Ing Horh berkata mesyuarat itu akan membabitkan semua pihak yang terlibat dalam penilaian berkenaan bagi meneliti aspek yang telah dilaksanakan dengan baik, selain mengenal pasti ruang yang masih boleh ditambah baik.
“Kita perlu melihat apa yang telah kita lakukan dengan baik dan mengenal pasti aspek yang masih boleh ditambah baik.
“Walaupun mendapat lima bintang, kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian sedia ada.
“Sebaliknya, kita perlu melihatnya sebagai peluang untuk terus memperbaiki mutu perkhidmatan dan prestasi MPS,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat penuh MPS di sini pada Rabu.
Ting berkata pencapaian berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai titik akhir, sebaliknya perlu dijadikan peluang untuk MPS menilai semula pendekatan yang digunakan serta mengenal pasti langkah yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada masyarakat.
Beliau berkata lawatan penandaarasan ke beberapa PBT di Semenanjung Malaysia turut dirancang bagi membolehkan MPS melihat sendiri pendekatan, sistem kerja dan amalan terbaik yang dilaksanakan oleh PBT berkenaan, khususnya yang mencatatkan pencapaian lebih tinggi dalam penilaian di peringkat kebangsaan.
“Kita mahu melihat sendiri bagaimana PBT yang mencatatkan kedudukan lebih tinggi melaksanakan tugas mereka dan apa yang boleh kita pelajari daripada mereka untuk meningkatkan lagi prestasi MPS,” tegasnya.
Menurutnya, langkah itu penting memandangkan penilaian Penarafan Lima Bintang KPKT dilaksanakan sekali dalam tempoh dua tahun, dengan penilaian seterusnya dijadualkan pada 2028.
Katanya, tempoh berkenaan akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh MPS untuk membuat persediaan lebih awal, termasuk memperkemas aspek pengurusan, operasi dan penyampaian perkhidmatan.
Dalam penilaian terkini, MPS berjaya menduduki tempat keenam di peringkat kebangsaan iaitu meningkat dengan ketara berbanding tempat ke-32 dalam penilaian sebelumnya.
Ting berkata pencapaian itu membuktikan usaha dan komitmen warga kerja MPS dalam meningkatkan prestasi organisasi telah membuahkan hasil.