☰Show More Menu
×

Pentadbiran Bahagian Sibu

RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU

News

 

Jumlah aduan awam menerusi aplikasi SMC Cares menurun

Posted on 30 Sep 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

SIBU: Jumlah aduan awam yang diterima menerusi aplikasi SMC Cares menunjukkan penurunan ketara ketika ini.

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting berkata antara aduan yang masih diterima ialah berkaitan kompaun tempat letak kereta termasuk membabitkan pengguna yang mempunyai pas bermusim tetapi masih dikenakan kompaun.

Katanya, keadaan itu mungkin berlaku kerana anggota penguat kuasa tidak menyedari kenderaan berkenaan mempunyai pas bermusim dan perkara tersebut perlu diberi perhatian bagi mengelakkan kesilapan berulang.

Mengenai sistem Smart Parking, Ting berkata jumlah penggunanya kini mencecah kira-kira 111,000 orang dan dijangka terus meningkat dalam tempoh terdekat.

“Kita mungkin akan mencapai 150,000 pengguna tidak lama lagi,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat MPS pada Rabu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ting mengarahkan tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan terbiar diteruskan secara aktif di seluruh kawasan pentadbiran MPS.

“Kalau ahli majlis nampak kenderaan terbiar, ambil gambar, catat lokasinya dan minta pihak penguat kuasa mengambil tindakan. Jangan tunggu aduan awam,” tegas beliau.

Beliau berkata tindakan terhadap kenderaan terbiar perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak hanya selepas perkara itu dibangkitkan oleh ahli majlis atau orang awam.

Sementara itu, Ting turut mengarahkan usaha menangani masalah anjing liar di kawasan pentadbiran MPS diteruskan secara konsisten susulan pihaknya masih menerima aduan daripada orang awam.

Beliau berkata masalah anjing liar masih berlaku dan turut mencetuskan pertikaian antara jiran, terutama apabila terdapat penduduk yang memelihara anjing manakala sebahagian lagi berasa terganggu dengan kehadiran haiwan berkenaan.

“Masih banyak masalah anjing. Ada jiran yang suka anjing, ada yang suka kucing dan ada yang tidak suka kedua-duanya. Apabila berlaku aduan antara jiran, perkara seperti ini memang akan timbul,” tambah Ting.

Menurutnya, sebanyak 110 ekor anjing liar berjaya ditangkap pada Ogos manakala empat ekor lagi ditangkap di kawasan Stadium Tun Zaidi baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, tindakan menangkap anjing tidak boleh dilakukan sekiranya haiwan berkenaan berada di dalam kawasan berpagar milik persendirian kerana pihak berkuasa tempatan tidak mempunyai kuasa untuk memasuki premis tanpa kebenaran.

“Kalau anjing itu berada di dalam pagar rumah, pihak Majlis tidak boleh masuk ke rumah orang untuk menangkapnya. Sebab itu kita perlu pergi menyiasat terlebih dahulu,” jelasnya.

Ting berkata MPS akan terus menjalankan siasatan dan tindakan penguatkuasaan berdasarkan aduan yang diterima bagi memastikan isu berkenaan tidak berlarutan.

Beliau turut mengingatkan anggota penguat kuasa dan ahli majlis supaya lebih proaktif dalam menangani isu berkaitan haiwan terbiar serta tidak hanya menunggu aduan daripada orang awam.

  • oleh


image Undian
image Pengumuman