RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Hospital Sibu disinari cahaya hijau malam tadi bagi menghormati pengorbanan seorang pesakit wanita yang telah meninggal dunia dan menyumbangkan hadiah kehidupan yang amat berharga menerusi pendermaan kornea dan buah pinggang.
Hospital Sibu menerusi hantaran di laman rasmi Facebooknya berkata, Madam SK merupakan seorang isteri penyayang, ibu prihatin dan pendidik sepanjang hayat, meninggalkan legasi bermakna menerusi keputusan murninya sebagai penderma organ.
Menurut kenyataan itu, pendermaan berkenaan merupakan pendermaan organ pepejal (solid organ donation) pertama di Hospital Sibu sejak 2019.
“Sebagai penderma organ, Madam SK menyumbangkan buah pinggang dan korneanya, menyelamatkan nyawa dan membantu memulihkan penglihatan insan yang tidak dikenalinya.
“Keputusan murni itu berpotensi memulihkan penglihatan, membawa harapan dan memberikan peluang kedua untuk meneruskan kehidupan kepada insan lain,” ujarnya.
Pihak hospital merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan rasa kagum kepada penderma dan keluarga penderma atas keberanian, keprihatinan dan kemurahan hati mereka dalam menghadapi saat yang amat sukar.
“Keprihatinan mereka mengingatkan kita bahawa walaupun dalam detik kehilangan, kita masih mampu mencipta harapan untuk orang lain,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, pendermaan organ dan tisu merupakan antara hadiah terbesar yang boleh diberikan seseorang.
“Satu keputusan mampu mengubah kehidupan, meringankan penderitaan pesakit dan memberikan harapan baharu kepada keluarga yang sedang menanti pemindahan organ.
“Semoga tindakan kemanusiaan yang begitu indah ini menjadi inspirasi kepada kita semua untuk mempertimbangkan ikrar sebagai penderma organ dan berkongsi hasrat tersebut dengan insan tersayang,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kebaikan dan sifat tidak mementingkan diri penderma akan sentiasa dikenang, manakala legasinya akan terus hidup menerusi kehidupan insan yang menerima manfaat daripada pengorbanannya.
“Berikan harapan, berikan kehidupan, jadilah penderma organ,” ujarnya.