RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
KANOWIT: Satu isu lama berkaitan pembinaan Pengkalan Feri Sedaya di sini bakal diselesaikan tidak lama lagi.
Perkara tersebut telah mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana yang akan melaksanakannya bagi kemudahan penduduk setempat
Menurutnya, isu pembinaan feri tersebut sering dibangkitkan penduduk setempat.
"Saya telah mengadakan perbincangan dengan ADUN Machan Allan Siden Gramong bagi menyelesaikan isu Pengkalan Feri Sedaya yang sering dibangkitkan oleh orang ramai.
"Ia melibatkan pembinaan tanjakan feri di Pengkalan Feri Sedaya yang akan diberi perhatian utama," katanya ketika menghadiri Majlis Pecah Tanah Tapak Rumah Baharu Rumah Suring, Sungai Mapai di sini, baru-baru ini.
Beliau memberitahu, dua batang tiang untuk tanjakan feri tersebut dari arah pekan Kanowit akan dibina menggunakan bajet Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN Machan manakala dua batang tiang dari arah Sedaya akan dibina menggunakan bajet RTP ADUN Ngemah.
Tambahnya lagi, kos keseluruhan bagi membina empat batang tiang tersebut berjumlah RM360,000 iaitu RM90,000 bagi satu tiang.
Dengan adanya feri tersebut, ia akan memudahkan penduduk setempat antaranya Nanga Tada, Mapai, Bejait, Sedaya dan Bawan pergi ke pekan Kanowit tanpa melalui perjalanan yang jauh.
Pengkalan Feri Sedaya ini hanya terletak di seberang pekan Kanowit.
Jika tiada kemudahan feri ini, penduduk setempat terpaksa menggunakan laluan yang agak jauh iaitu menyeberangi Jambatan Durin untuk ke pekan Kanowit.
Pada majlis tersebut, Anyi memperuntukkan RM300,000 dana di bawah RTP DUN Ngemah Tahun 2022 untuk projek tapak rumah baharu Rumah Suring.
Jelasnya lagi, projek tersebut akan diselia Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah isteri Anyi iaitu Gelim Utan, wakil Majlis Daerah Kanowit (MDK) Kaunselor Cliff Unting dan Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Ngemah Stenny Willis.