RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Sarawak Sarawak (UTS) dan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) boleh menyelesaikan masalah pokok khususnya di Sibu, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dr Annuar Rapaee.
Dengan MoU itu katanya, kerjasama antara UTS dan JHS boleh melakukan banyak perkara berkaitan pokok yang terdapat di sini sama ada di sepanjang jalan atau di tempat-tempat lain.
''Setiap kali saya melihat pokok di sepanjang jalan di Sibu sedang ditebang, saya berasa sangat sedih.
"Anda bayangkan sahaja pokok yang telah tumbuh puluhan tahun ditebang sewenang-wenangnya.
''Pokok yang berada di tepi jalan memang berisiko membahayakan keselamatan pengguna jalan raya tapi saya tahu ada cara bagaimana untuk memastikan pokok di tepi jalan tidak ditebang.
"Saya percaya kerjasama antara UTS dan Jabatan Hutan Sarawak akan menyelesaikan perkara ini,'' katanya ketika merasmikan Program Le Tour De Restoration (LTDR) 2.0: Greening Sarawak Campaign Peringkat Wilayah Sibu di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) hari ini.
Program itu dianjurkan Jabatan Hutan Sarawak sempena Le Tour De Restoration 2.0 (Kempen Menghijaukan Sarawak) 2023.
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UTS itu berharap, UTS dan agensi lain dapat membantu JHS untuk memberi tumpuan kepada sumber hijau dan menggunakannya sepenuhnya.
''Saya yakin semua sumber yang kita ada, kita boleh mencipta perkara baharu seperti teknologi hijau, ekonomi hijau yang boleh meningkatkan pendapatan negeri kita,'' katanya.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka menggesa menjelang tahun depan, setiap pelajar baharu UTS perlu menanam pokok.
''Seperkara lagi yang saya ingin gesa UTS memandangkan saya merupakan salah seorang Lembaga Pengarah UTS, mulai tahun depan setiap pelajar baharu perlu menanam sebatang pokok,'' katanya.
Dr Annuar juga berharap UTS akan mengadakan seminar tentang 'hijau' yang dapat mendidik pelajar tentang pentingnya 'persekitaran hijau'.
Turut hadir Pengarah JHS Datu Hamden Mohammad, Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid, Timbalan Pengarah JHS (Konservasi Hutan dan Pembangunan) Happysupina Sait dan Pegawai Hutan Wilayah Sibu Ahmad Ashrin Mohammad Bohari.