RESIDEN SIBU | DO SIBU | DO KANOWIT | DO SELANGAU
SIBU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu memainkan peranan dalam memantau projek pembangunan di kawasan masing-masing bagi memastikan bahawa setiap projek dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan tanpa sebarang penyelewengan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang berkata, KMKK dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merupakan mata dan telinga kerajaan, selain memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan yang adil dan telus.
"Sebagai pemimpin akar umbi, anda adalah penjaga integriti dalam komuniti.
"Saya menyeru KMKK untuk melaporkan sebarang ketidakpatuhan atau kelewatan projek agar tindakan yang tepat dapat diambil," ujarnya ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Jelajah Integriti Siri 16 Bil 7/2024 Daerah Sibu DUN Pelawan, hari ini.
Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata, selaras dengan visi menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030, kerajaan melalui Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) akan terus komited dalam membudayakan amalan integriti.
Menurut beliau, mengekalkan integriti dalam setiap aspek kehidupan sama ada dalam tugas harian atau pengurusan sumber adalah penting.
"Kita memerlukan kerjasama erat semua pihak untuk memastikan integriti sentiasa terpelihara dalam usaha mencapai misi menjadikan Sarawak antara negeri terkaya dan termaju di Malaysia.
"Sebagai Timbalan Menteri, saya bertekad untuk menyokong program-program yang memupuk nilai integriti, khususnya di kalangan belia, usahawan, dan atlet negeri kita, demi mencapai Sarawak yang lebih berintegriti dan progresif," jelasnya.
Di samping itu ujar Tiang, KMKK juga perlu peka terhadap isu sosial yang boleh merosakkan integriti komuniti seperti jenayah dan penyalahgunaan dadah.
Ini kerana katanya, integriti bukan hanya terikat pada aspek ekonomi dan pembangunan, tetapi juga melibatkan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat.
"KMKK harus menjadi contoh teladan yang dapat dicontohi oleh masyarakat," tegas beliau.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya serta yang lain.